Kopi dan kanser, hasil penemuan bercampur saintis

Kita selalu membaca dan melihat artikel yang berbicara mengenai kopi, sama ada ia baik atau buruk untuk kesihatan. Sukar sekali untuk menilai sama ada minuman ini benar-benar memberi kebaikan atau keburukan atau sekadar minuman gaya hidup yang menambah citarasa sahaja.

Dalam satu penemuan terbaru American Cancer Society (ACS), bahan yang terkandung dalam kopi didapati dapat mengurangkan risiko kanser.

Ini kerana sebatian aktif biologi seperti kafein, flavonoid, lignans dan polyphenols dalam kopi terbukti meningkatkan tenaga, menghalang kerosakan sel, mengatur gen yang terlibat dalam pembaikan DNA, mempunyai sifat anti-inflamasi dan atau menghalang metastasis.

Walau perkara itu masih didebat, ACS yakin para peminum kopi mempunyai risiko lebih rendah terhadap jenis kanser tertentu:

1. Kanser prostat

Kajian yang diterbitkan oleh Journal of National Cancer Institute pada 2011 melibatkan 50,000 responden lelaki selama 20 tahun mendapati risiko kanser prostat berkurangan sehingga 20% bagi lelaki yang minum kopi. Namun, menurut Agensi Antarabangsa untuk penyelidikan kanser (IARC), kesan kopi tidak terlalu besar untuk risiko kanser prostat.

2. Kanser mulut dan tekak

Kajian yang mendedahkan, meminum 4 cawan kopi setiap hari dapat mengurangkan risiko 2 jenis kanser ini. Bagaimanapun, pengarang kajian Janet Hildebrand berkata mereka tidak mengesyorkan meminum kopi dalam amaun banyak kerana ia memerlukan banyak penyelidikan berskala besar untuk membuktikannya.

3. Kanser hati

Menurut The British Liver Trust, kopi dilabel sebagai minuman yang baik untuk kesihatan hati. “Mengamalkan kopi secara sederhana dapat mencegah kanser hati,” kata agensi itu.

4. Kanser endometrium

Terdapat kajian yang menyatakan kopi mampu melindungi seseorang daripada kanser rahim kerana kopi kaya dengan kandungan polifenol. Kandungan dalam kopi juga dikatakan mengurangkan hormon estrogen sehingga risiko kanser rahim dapat dikurangkan. Bagaimanapun, Persatuan Kanser Amerika mendapati kajian itu menghasilkan keputusan bercampur.

Kaitan kopi dan kanser

Bagaimanapun, terdapat juga beberapa kajian yang menyatakan rutin minum kopi boleh menyebabkan kanser. Malah di beberapa bandar di Amerika Syarikat, kedai kopi perlu meletak amaran bahaya kanser dalam pembungkusan mereka.

Menurut IARC seperti yang dipetik American Cancer Society, belum ada bukti yang cukup untuk menyimpulkan amalam meminum kopi boleh menyebabkan kanser.

Hanya minuman yang terlalu panas, lebih daripada 65℃ , yang disahkan mencetuskan risiko kanser. Kajian pada tahun 2016 oleh IARC mendapati bukti karsinogen dalam kopi “tidak dapat dikelaskan”.

Dalam konteks lain, mereka juga menekankan amalan meminum kopi bukan penyebab kanser payudara wanita, pankreas dan kanser prostat, sebaliknya mengurangkan risiko endometrium uterus dan kanser hati.

Namun, bukti itu dianggap tidak mencukupi untuk jenis kanser lain. Ini kerana, mereka tidak mempunyai bukti yang meyakinkan, termasuk hasil yang tidak konsisten sepanjang kajian dan ketidaktentuan dengan kualiti data.

Di samping itu, oleh kerana perokok juga cenderung menjadi peminum kopi, jadi sukar untuk mengenal pasti sama ada tembakau atau kopi yang menjadi penyebab utama kanser.