Pemimpin dunia paling korup era ini

Ternyata berita penahanan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengejutkan ramai pihak, namun kebanyakan mereka sudah menjangkanya sejak dari awal lagi.

Beliau ditahan pada 2.35 petang berkaitan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB dan dihadapkan ke Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta hari ini.

Setakat artikel ini ditulis Najib didakwa atas pertuduhan dikaitkan dengan pengubahan wang.

Maklumat selebihnya, kita kena tunggu laporan berita, sehingga itu biarkan sistem perundangan dan kehakiman yang tentukan sama ada beliau bersalah atau sebaliknya.

Sebenarnya, dalam sejarah dunia, pemimpin dan salah guna kuasa tidak boleh dipisahkan apabila ramai ketua negara yang ditangkap, ditahan, dibicara dan akhirnya dijatuhkan hukuman atas pelbagai kesalahan jenayah lazimnya korupsi.

Kuasa, kepercayaan rakyat, kekayaan dan sistem pemerintahan dikatakan antara faktor yang mendorong pemimpin terlibat dalam kesalahan jenayah sehingga ia menjadi parasit politik.

Dunia pernah menyaksikan keruntuhan pelbagai empayar politik hanya kerana seorang individu yang tercemar, atau kejatuhan ekonomi negara kerana seorang ketua yang bersikap pentingkan diri sendiri.

FMT Ohsem menyenarai antara pemimpin dunia yang pernah disabit atas kesalahan memusnahkan kepercayaan rakyat dan negara kerana kuasa yang diberikan kepada mereka.

Oleh kerana senarai itu terlalu panjang, kami terpaksa mengehadkan kepada 5 pemimpin paling korup khususnya di Asia.

1. Joseph Estrada

Lahir pada 1937, Joseph Estrada merupakan pelakon terkenal terutamanya dalam kalangan rakyat kelas ke-3 Filipina sebelum dipilih menjadi presiden Filipina ke-13.

Pemerintahannya bermula pada 1998 dan mengundurkan diri dari politik pada 2001 selepas dikesan terlibat dalam korupsi. Estrada didakwa menyimpan duit rasuah sebanyak RM303 juta (4 bilion peso). Beliau turut dituduh kerana bersumpah bohong mengisytiharkan nilai palsu aset dan menyalahgunakan identiti Jose Velarde, kepada mahkamah anti-rasuah Sandiganbayan.

Beliau ditahan di rumahnya di Tanay, bagaimanapun diampunkan oleh Presiden Gloria Macapagal-Arroyo pada 25 Oktober 2007. Menariknya beliau tidak dipenjara, sebaliknya menjelajah seluruh Filipina dan menyampaikan barang makanan, ubat-ubatan dan pakaian sebagai tanda terima kasih di atas sokongan rakyat jelata.

Beliau juga mencuba nasib dengan bertanding dalam pilihan raya pada 2010 tetapi kalah. Cukuplah, dah kena ampun pun sudah dikira cukup baik berbanding terperuk di penjara.

2. Ferdinand Marcos Emmanuel Edralin

Nampaknya, Filipina mempunyai sejarah pemimpin korup yang paling ramai. Presiden ke-10 Filipina, Ferdinand Marcos Emmanuel Edralin disabit bersalah mengamalkan korupsi otoriter, despotisme, nepotisme, penindasan politik dan pelanggaran hak asasi manusia.

Beliau dan isterinya juga dikatakan menyimpan dana milik awam di bank di Amerika Syarikat, Swiss dan negara-negara lain di bawah nama mereka selain menggunakan wang secara haram dalam perniagaan. Kalau nak tahu lebih mengenai pemimpin ini, kena juga baca mengenai isteri beliau, Imelda Marcos yang turut menyapu harta rakyat ketika kepimpinan menggantikan suaminya.

3. Mohamed Suharto

Mohamed Suharto merupakan presiden ke-2 Indonesia yang memerintah sejak 1967 hingga 1998. Beliau mengundurkan diri setelah protes besar rakyat Indonesia selepas memegang pemerintahan selama sekitar 31 tahun.

Bayangkan betapa besarnya pengaruh beliau namun diusir rakyat negaranya. Menurut Transparency International, Suharto adalah pemimpin paling korup yang menggunakan dana negara sekitar RM60 bilion (AS$15,000,000,000) hingga RM141 billion (AS$35,000,000,000). Perghh, banyak tu! KAlau nak tulis pasal sejarah korupsi beliau, memang tak cukup sehari!

4. Silvio Berlusconi

Mantan perdana menteri Itali ini bukan calang-calang orangnya. Korupsi dan penglibatan seks dengan pelacur di bawah umur menjadikan dia seorang pemimpin yang popular atas sebab yang negatif. Sebelum menyertai dunia politik, Berlusconi dikatakan membangunkan empayar perniagaannya dengan dana dari mafia Itali.

Dari industri binaan, ke media dan kelab bola sepak terkenal dunia, AC Milan, Berlusconi pernah disenarai sebagai orang terkaya ke-141 di dunia, dengan kekayaan RM36.4 bilion (AS$9 bilion). Ekoran beberapa kontroversi, Silvio meletakkan jawatan untuk sementara dan menjadi perdana menteri semula pada 2001.

Beliau mengundurkan diri ketika Itali berada di puncak krisis hutang selain pelbagai skandal yang melibatkan dirinya. Kerana faktor usia, beliau tidak dipenjara tetapi menjalankan khidmat rakyat.

5. Mobutu Sese Seko

Tersenarai sebagai antara pemimpin paling korup di dunia untuk era ini, Mobutu Sese Seko juga menjadi pemimpin terkaya di dunia dengan jumlah kekayaan sebanyak RM40.46 bilion (AS$10 bilion). Pada awal penyertaan politik, Mobutu dianggap sebagai ketua yang baik ekoran usahanya membawa keluar negaranya daripada krisis Congo pada 1960.

Selepas itu, beliau menjadi presiden pertama dilantik secara demokrasi melalui pilihan raya. Namun pemerintahannya menjadikan Republik Demokrasi Congo sebagai negara paling tinggi inflasi selepas gagal mentadbir urus dengan baik. Tetapi kekayaan miliknya pula dikatakan menyamai atau lebih daripada nilai hutang luar negara pimpinannya itu.