Rakyat Malaysia sambut Raya sampai sebulan

Walaupun sudah lebih 2 minggu 1 Syawal berlalu, nampaknya sambutan Hari Raya Aidilfitri masih hangat terasa.

Masakan tidak. Saban hujung minggu masih ada undangan rumah terbuka dan sesi kunjung-mengunjungi rumah ahli keluarga dan sahabat handai masih berterusan dan kanak-kanak pula ligat mengumpul duit raya.

Tidak kurang juga yang mengambil peluang untuk melangsungkan majlis perkahwinan, berendoi dan kenduri kesyukuran yang disekalikan dengan acara rumah terbuka.

Uniknya di Malaysia ini acara berkaitan sambutan Hari Raya Aidilfitri boleh berlangsung sepanjang bulan Syawal. Bahkan dalam tahun-tahun sebelum ini ada kalanya terlajak sehingga awal Zulkaedah.

Ini amat berbeza dengan cara sambutan di negara lain terutamanya di Timur Tengah yang hanya membesarkan tarikh 1 Syawal sebagai sambutan Aidilfitri.

Jangan membazir

Umat Islam maklum sambutan hari raya adalah tentang meraikan kemenangan dan kejayaan menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadan.

Namun bagi masyarakat di negara ini khususnya masyarakat Melayu, hari raya juga kesempatan terbaik untuk bergembira bersama keluarga dengan hidangan juadah yang mungkin akan ada pada hari berkenaan.

“Konsep raya selama sebulan ini hanyalah amalan bagi sesetengah orang Melayu sahaja walaupun hari raya yang sebenar itu hanyalah satu hari. Bahkan bagi orang-orang yang selesai puasa sunat 6 hari di bulan Syawal ada pula konsep ‘raya 6’ pula,” kata Ustaz Ahmad Saifuddin Yusof, yang sedang menyambung pengajiannya di peringkat Ijazah Falsafah Kedoktoran dalam bidang hadis, kepada Bernama.

Bagaimanapun, menurut beliau, apa yang dibimbangkan daripada amalan sedemikian ialah jika berlakunya pembaziran kerana ia tidak selari dengan pendidikan jiwa yang dibentuk sepanjang Ramadan.

Selain perbelanjaan menyambut hari raya, Ahmad Saifuddin turut menyentuh isu adaptasi budaya yang diamalkan masyarakat Melayu.

“Orang Malaysia suka mengadaptasi budaya orang lain contohnya budaya memberi duit raya. Memberi tidak salah tetapi perlu ikhlas dan berdasarkan kemampuan dan jangan fikirkan nilai pemberian orang lain

“Berapa orang beri kepada anak kita, tidak semestinya nilai yang sama kita perlu balas kepada anak-anak orang itu. Tengok semula bajet kita sendiri jangan sampai menyusahkan diri,” kata beliau.

Sesuaikan dengan budaya

Sementara itu, graduan bidang Usuluddin Universiti Yarmouk, Jordan Mohd Syazreen Abdullah berkata walaupun terdapat perbezaan budaya dan cara sambutan Aidilfitri mengikut tempat, itu bukanlah suatu masalah kerana perayaan boleh disesuaikan dengan keadaan masyarakat tempatan.

“Beraya sebulan bukanlah satu masalah tetapi apa yang penting ialah pengisian kepada sambutan selama sebulan itu. Kalau mahu guna tempoh sebulan itu sebagai peluang mengeratkan silaturahim, saling ziarah-menziarahi dan mengadakan rumah terbuka, itu bagus.

“Tetapi kalau sampai melampaui batas, membazir dalam berbelanja dan sampai urusan wajib pun dilanggar, itu salah,” kata beliau yang juga penulis buku ‘Bercakap Dengan Quran’.

Beliau turut berpendapat pada sambutan Aidilfitri semua orang mempunyai hak untuk meraikan kegembiraan dan menjauhkan diri daripada sebarang prasangka buruk.

Bahkan pada sesetengah orang, mereka hanya dapat merasa secebis kemanisan hidup seperti memakai baju baharu dan berjumpa sanak saudara pada hari raya. Oleh itu elakkanlah daripada mengata perkara buruk terhadap diri mereka.

Tambah Mohd Syazreen, maksud ‘Aidilfitri’ itu sendiri membawa makna fitrah yang juga menyamai sifat ‘hanif’ dalam diri setiap insan seperti saling memaafkan dan berlapang dada dalam perbezaan.

Sembang politik

Memandangkan sambutan hari raya kali ini masih dibayangi bahang pasca Pilihan Raya ke-14 (PRU 14), topik berkaitan politik pasti sedikit sebanyak dibawa masuk ketika bersembang bersama ahli keluarga.

Umum memahami perseteruan politik jika tidak dikawal boleh merosakkan hubungan sesama individu. Ketaksuban terhadap parti dan barisan kepimpinan parti mungkin boleh menjadi punca pergaduhan antara adik beradik, saudara mara dan sahabat handai.

Menurut Ahmad Saifuddin, pada zaman Rasulullah juga para sahabat nabi banyak berbincang tentang isu politik terutamanya politik antarabangsa melibatkan kekuasaan empayar Rom dan kerajaan Parsi.

“Berbincang tentang isu politik, terutama bila melibatkan individu tertentu boleh menjerumuskan kita kepada amalan mengumpat. Ini kerana orang yang kita perkatakan tidak ada di hadapan kita tetapi kita bercakap-cakap tentang dirinya,” jelas beliau.

Atas sebab itulah Ahmad Saifuddin mencadangkan jika boleh, gunakan peluang bersilaturahim untuk mengeratkan hubungan antara ahli keluarga dan jika ada isu politik dibangkitkan, pilihlah sama ada untuk mengelak daripada terlibat dalam perbincangan atau berusaha menukar topik perbualan.