Wanita akui hidap fibroid kerana mi segera dan bakso

Kisah perkongsian seorang wanita mengenai kesihatannya menjadi viral selepas mengaku menghidap fibroid selepas makan mi segera dan bakso.

Wanita tersebut, Nutri Agus Thanty yang berasal dari Indonesia menulis status menyatakan dia menghidap fibroid kerana sering memakan bakso, mi segera dan makanan ringan lain yang tidak sihat.

“Sejujurnya, aku memang mengetahui bahaya mi segera, terutama sebagai penderita ulser. Namun, semua itu aku abaikan kerana nikmat rasa dan sensasi mi tersebut yang membuatku melupakan bahayanya di kemudian hari,” petik sebahagian muat naik status Nuri dalam bahasa Indonesia.

Nuri menceritakan secara lanjut bagaimana dia terlibat dengan tabiat makanan tidak sihat, khususnya mi segera dan ia memberi kesan kepada kesihatannya.

Nuri dikesan dengan 4 ketulan fibroid, 1 ketulan besar dan 3 lagi kecil, semuanya dikeluarkan secara pembedahan selepas dia ke hospital kerana sakit perut.

Perkongsian Nuri dikongsi hampir 210,000 kali dengan 33,000 komen dari pembaca yang kasihan dan syukur fibroid tersebut sudahpun dikeluarkan.

Namun, memetik laporan portal Kompas, memetik kenyataan Pakar Kanser Bahagian Reproduksi Wanita Fakulti Perubatan Universiti Indonesia (FKUI) Prof Dr Andrijono, pengambilan mi segera mahupun bakso tidak boleh dikaitkan sebagai penyebab fibroid.

Malah, beliau akui penyebab sebenar fibroid masih tidak dapat dipastikan lagi.

Lazimnya, fibroid dikaitkan dengan hormon estrogen, iaitu hormon reproduksi yang dihasilkan oleh ovari.

Manakala laman My Health yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pula menyatakan fibroid sebagai bentuk ketumbuhan tunggal atau ketumbuhan berganda dan ia perkara biasa yang dialami oleh kebanyakan wanita dalam lingkungan umur subur (reproductive).

“Kira-kira 20 % wanita usia subur mempunyai fibroid dan jarang sekali dialami oleh wanita muda sebelum haid. Ketumbuhan ini biasanya mengecut selepas menopaus.”

My Health juga menyatakan, walaupun punca fibroid tidak dapat dipastikan, tetapi pakar berpendapat ia mempunyai banyak kaitan dengan faktor genetik, hormon, dan persekitaran.

“Malangnya, tiada cara yang diketahui untuk mencegah fibroid daripada bertambah atau berulang.”