Bapa beri bayi susu badan kerana isteri sakit

Maxamillian Kendall dan April Neubauer dari Wisconsin baru sahaja dikurniakan anak perempuan, namun si ibu tidak dapat menyusu badan serta-merta kerana menghadapi kekejangan akibat masalah gangguan hormon.

Menurut CBS News, April terpaksa melalui sesi pembedahan kecemasan sewaktu melahirkan anak perempuannya, Rosalia.

April sebelum ini dikatakan tidak mampu melahirkan anak kerana gangguan hormon dikenali sindrom ovarium polikistik yang menyebabkannya pelbagai kekejangan semasa kelahiran.

Bagaimanapun, dengan bantuan perubatan dia akhirnya melahirkan Rosalia, cuma terpaksa dibawa ke bilik rawatan intensif yang mana menyukarkan dia menyusu anaknya.

Seorang jururawat menawarkan penyelesaian kepada Maxamillian, untuk menggunakan alat bantuan penyusuan yang selama ini hanya digunakan oleh para ibu.

Menariknya, Maxamillian tidak berfikir panjang malah segera mempersiapkan diri untuk mencuba alat penyusuan susu yang menggunakan perisai puting palsu, tiub makan, jarum suntikan dan beberapa formula untuk membantu proses penyusuan.

“Peranti ini digunakan untuk ibu-ibu yang mengambil anak angkat, ibu-ibu yang bayi mereka memerlukan suplemen tambahan atau untuk ibu-ibu yang mempunyai puting yang rata atau terbalik,” kata Martin-Dennehy kepada CBS News.

Apapun, beliau teruja apabila buat pertama kali seorang bapa bersedia menggunakannya.

Walaupun beliau pernah mendekati bapa-bapa lain sebelum ini namun Maxamillian adalah yang pertama bersetuju untuk mencubanya.

Gambar Maxamillian memasang peranti dan puting palsu pada dada sambil mendukung Rosalia dengan menyusu badan viral di laman sosial sekali gus membuka satu pendekatan baharu.

“Saya gembira menjadi lelaki pertama menyusu anak. Tidak lama lagi, isteri saya akan mengambil alih penyusuan susu ibu, jadi saya tidak perlu menggunakan peranti itu lagi.

“Bagaimanapun, saya mempunyai beberapa idea untuk peranti itu,” katanya yang menamakannya sebagai “moob”.

Manakala jururawat itu, Martin-Dennehy berharap “moob” akan diterima secara lebih terbuka oleh para bapa selepas ini.