Kes dera kanak-kanak sepanjang 6 bulan pertama 2018

Pertama kali rakyat Malaysia terdedah kepada klausa “penderaan kanak-kanak” adalah pada 1990 melibatkan seorang bayi berusia 26 bulan, Balasundram yang dibunuh secara kejam selepas didera oleh teman lelaki ibu kandungnya.

Kes tersebut menjadi titik tolak terpenting dalam sejarah keganasan domestik melibatkan kanak-kanak dan bayi sehingga pihak berkuasa undang-undang tampil memperkenalkan Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991.

Sebenarnya kes penderaan sudah lama berlaku, cuma masyarakat Malaysia kurang menyedari masalah tersebut sebagai satu isu yang perlu diberi perhatian. Ini kerana ia melibatkan ahli keluarga atau mereka yang dikenali secara rapat, justeru ia tidak dilapor demi menjaga nama dan maruah keluarga.

Namun, selepas kes penderaan pertama, semakin banyak kes yang mula dilapor dan diberi liputan meluas media khususnya penderaan yang membawa kepada kematian.

Ingat, penderaan kanak-kanak ini bukan sahaja melibatkan kecederaan iaitu fizikal sebaliknya turut melibatkan emosi, seksual, kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak, termasuk sebarang bentuk eksploitasi atau komersial.

Menurut statistik, sekurang-kurangnya 2,000 kanak-kanak di Malaysia dilaporkan menjadi mangsa penderaan dan pengabaian kanak-kanak setiap tahun. Dan hanya melibatkan kes yang dilapor, kes yang tidak dilaporkan mungkin berganda-ganda banyaknya.

FMT Ohsem menyenarai kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan sepanjang 2018 iaitu dalam jangka masa hanya 6 bulan yang mendapat liputan meluas media.

Berita ini merujuk kepada kes pendedahan dan tangkapan yang dibuat pada 2018 sahaja.

1. Bayi 46 hari maut didera

Tirai 2018 dibuka dengan laporan kematian membabitkan seorang bayi yang hanya berusia 46 hari. Bayi perempuan itu meninggal dunia dipercayai didera di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Menurut polis, bapa bayi, Nurul Ain Umairah Muhammad Firdaus yang dilahirkan pada 30 Disember mendakwa anak ke-2nya itu enggan minum susu sejak 2 hari sebelum meninggal dan semakin lemah pada pagi hari berikutnya sebelum dia dan isterinya membawa bayi berkenaan ke sebuah klinik swasta.

Doktor yang mendapati denyutan jantung bayi itu semakin lemah meminta pasangan berkenaan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan. Namun pemeriksaan awal menemukan bayi itu mengalami patah kaki selain beberapa kesan kecederaan dan lebam pada badannya.

2. Kanak-kanak lelaki 2 tahun mati

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun meninggal dunia di sebuah hospital di Kulai dipercayai didera.
Menurut laporan akhbar pada 4 Januari, polis mendapati siasatan awal bedah siasat menemukan mangsa didera ekoran terdapat pendarahan di kedua-dua telinga mangsa, selain kesan lebam di bahagian kepala sebelah kiri, belakang badan dan takungan air di kerongkong.

Polis menahan ibu mangsa yang berusia 18 tahun dan nenek mangsa berusia 56 tahun untuk siasatan lanjut. Pada mulanya mangsa dihantar ibunya ke hospital dalam keadaan tidak bernafas.

3. Kanak-kanak perempuan 9 tahun maut didera bapa kandung, ibu tiri

Dalam kejadian pada 1 Februari 2018 di Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson, kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun ditemui tidak sedarkan diri sekitar 11.30 malam pada hari kejadian oleh bapanya sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

Setibanya di hospital mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. Menurut laporan, selepas bedah siasat dijalankan, kematian kanak-kanak itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh. Ini kerana terdapat kesan lebam pada badan kanak-kanak tersebut serta kecederaan pada organ dalaman.

Kecederaan lain termasuk kerosakan pada buah pinggang, kedua-dua rusuk kiri dan kanannya patah, kecederaan pada usus besar, serta kesan koyakan dalaman pada bahagian paha, dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Bapa kanak-kanak itu, yang merupakan seorang anggota tentera, dan ibu tiri mangsa yang tidak bekerja, masing-masing berusia lingkungan 30-an ditahan.

Ibu kandung mangsa, yang juga seorang anggota tentera dikatakan pernah membuat laporan polis selepas mendapati mangsa yang berada di bawah jagaan bekas suaminya, mempunyai kesan lebam pada beberapa bahagian badan.

4. Kanak-kanak 4 tahun mati disyaki didera kenalan ibu

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun parah mati selepas mengalami pendarahan serius di kepala dipercayai didera kenalan ibunya di Pandan Perdana.

Laporan pada 3 Mac menyatakan mangsa dihantar ke Hospital Ampang oleh 2 lelaki tempatan dan pemeriksaan turut mendapati ada kesan lebam pada dahi, dada dan betis kanan kanak-kanak itu, dipercayai akibat didera.

Siasatan awal mendapati 2 lelaki terbabit mengaku sebagai kenalan ibu kanak-kanak mendakwa mangsa mengalami sawan ketika berada dalam tandas dan terjatuh sendiri ketika hendak membuang air besar.

Menurut laporan, ibu kanak-kanak itu yang juga seorang warga Indonesia, menyerahkan anaknya kepada suspek berusia 56 tahun untuk dijaga sementara dia bekerja sebagai pembantu rumah. Ibu itu ada menyuarakan anaknya tidak ceria dan terlihat kesan lebam pada tubuhnya semasa menghubunginya menerusi penggilan video kira-kira sebulan sebelum kejadian.

5. Bayi perempuan 6 bulan maut kerana didera

Seorang bayi perempuan berusia 6 bulan meninggal dunia dipercayai didera sewaktu menerima rawatan di Hospital Seri Manjung, Perak, lapor berita pada 24 Mac lalu.

Bayi tersebut berada dalam keadaan lemah ketika dihantar ke hospital tersebut. Rawatan awal diberikan namun bayi itu meninggal dunia 4 jam selepas itu. Kes tersebut disiasat sebagai kes dera selepas pihak hospital mengesyaki kemungkinan berlakunya penderaan terhadap bayi tersebut sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia. Susulan kes tersebut, 4 suspek yang disyaki terlibat ditahan polis.

6. Kanak-kanak lelaki 6 tahun maut selepas patah tulang rusuk, pecah usus.

Tidak berperikemanusiaan! Laporan pada 18 April mengenai seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun dari Kedah yang maut akibat didera teman lelaki ibunya sehingga patah tulang rusuk dan pecah usus.

Perkara itu didedahkan pakar patologi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat mangsa, Mohamad Rayyan Hidayat Hairil Khan.

Polis berkata mangsa maut selepas dipercayai dipukul dengan objek tumpul pada bahagian badan. Susulan itu, polis menahan ibu mangsa berusia 31 tahun dan teman lelakinya berumur 26 tahun yang mempunyai 12 rekod lampau atas pelbagai kesalahan yang kebanyakannya membabitkan curi motosikal.

Bapa kandung mangsa, Hairil Khan Azali, 32, hanya sedar anaknya didera selepas membaca laporan forensik.

7. Datuk dera seksual cucu berusia 9 tahun

Seorang datuk berusia 71 tahun didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan perlakuan seksual secara fizikal terhadap cucu perempuannya yang berusia 9 tahun. Laporan berita pada 6 Jun menyatakan tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dibenarkan ikat jamin dengan alasan menghidap penyakit darah tinggi dan gout serta baru menjalani pembedahan pintasan jantung.