Teknologi dron ancam keselamatan ruang udara?

Revolusi Perindustrian Keempat atau Industri 4.0 adalah titik tolak permulaan pendigitan dan automasi dalam pelbagai proses pembuatan. Makanya, apabila kemajuan teknologi memperkenalkan pesawat yang lebih canggih, termasuk dron, pasti timbul pula kebimbangan mengenai keselamatan udara.

Setiap negara perlu memberi perhatian khusus kepada keselamatan ruang udara masing-masing kerana ini adalah satu kawasan yang tidak mudah dikawal, tidak seperti keselamatan darat dan lautan yang memungkinkan pembinaan pos kawalan di kawasan sempadan atau memastikan kapal peronda sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Menurut laporan jawatankuasa mengenai Peaceful Uses of Outer Space 2016 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ketinggian 110km di atas permukaan laut “boleh dianggap sebagai wilayah berdaulat sesebuah negara itu”.

Pada Julai tahun lepas, bekas Ketua Staf Angkatan Udara Indonesia, Chappy Hakim, dalam satu artikel yang disiarkan oleh harian Indonesia, Kompas melalui portal beritanya, berkata ketinggian maksimum yang diberikan oleh laporan PBB mungkin relevan pada waktu itu tetapi mungkin tidak sesuai pada masa kini apatah lagi dalam keadaan kemajuan teknologi semakin mencabar keselamatan ruang udara.

Malah, Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-32 pada 7 hingga 9 Mei anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia mendapati, adalah sesuai untuk mengadakan perbincangan dengan sub-tema, “Technology and the Battlefield: The Evolving Nature of Warfare” .

Jelas daripada perbincangan yang dibuat, ternyata tidak dapat dinafikan, sesetengah negara berpengaruh kini sedang membangunkan teknologi untuk memodenkan sektor ketenteraan mereka – yang melibatkan darat, laut dan dan ruang udara – dengan menggunakan kuasa nuklear, teknologi siber dan kecerdasan buatan (AI).

Teknologi dron cetus isu keselamatan

Sementara itu, kemajuan teknologi dron turut mencetuskan isu keselamatan.

Bekas juruterbang US Air Force B-52, Lawrence Newcome, yang merupakan pengarang “Unmanned Aviation: A Brief History of Unmanned Aerial Vehicles” menulis teknologi dron dicipta untuk pihak tentera menggunakannya sebagai alat ketenteraan bagi membawa muatan berbahaya dan sebaliknya.

Teknologi itu, yang wujud sejak Perang Vietnam (1954-1975), dijangka semakin pesat berkembang antara 2015 hingga 2020, kata Newcome.

Pemodenan dron ketenteraan akan membawa kepada pengeluaran dron yang berupaya terbang pada altitud lebih tinggi, selain mampu mengoptimum kuasanya untuk kekal aktif lebih lama. Oleh itu, dron berkenaan akan menjadi alat ketenteraan yang kuat pada masa akan datang.

Manakala kemajuan teknologi dron akan memberi manfaat kepada negara yang mempunyai keupayaan dan kepakaran membangunkannya, ia akan menjejaskan negara yang kekurangan sumber yang diperlukan kerana mereka bukan sahaja terdedah kepada serangan malah akan dipantau dan diintip tanpa disedari.

Apabila sesebuah negara kurang kedaulatan terhadap ruang udaranya, maka masalah keselamatan akan timbul. Pengeboman Pearl Harbor di Amerika Syarikat pada 7 Disember 1941, serta Hiroshima dan Nagasaki di Jepun masing-masing pada 6 dan 9 Ogos 1945, adalah contoh kegagalan melindungi ruang udara akibat kurang kawalan oleh Amerika Syarikat dan Jepun terhadap kawasan ruang udara mereka.

Pembangunan dron komersial

Ketersediaan dron komersial, yang boleh dibeli oleh orang awam, juga terbukti menjadi satu cabaran bagi keselamatan ruang udara. Ini bermakna teknologi dron tidak lagi semata-mata eksklusif untuk kegunaan pihak tentera.

Model dron komersial terkini berupaya terbang pada ketinggian 6 kilometer dan mempunyai kuasa yang cukup untuk terus aktif selama 25 minit. Ia juga dilengkapi kamera yang boleh mengambil imej atau video resolusi tinggi.

Dron seumpama itu berpotensi untuk terbang di sekitar kawasan yang sensitif, seperti pejabat kerajaan atau ibu pejabat tentera.

Kebolehan dron komersial akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa sejajar dengan kemajuan teknologi. Bahayanya, ia juga boleh digunakan sebagai alat untuk kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Bagaimanapun, kerajaan boleh meminimumkan ancaman yang berpunca daripada dron komersial dengan mengenakan peraturan ketat berkaitan penggunaannya oleh orang awam. Malangnya, peraturan sedia ada tidak cukup ketat dan masih mempunyai banyak kelemahan.

Apa yang amat ditakuti oleh negara di seluruh dunia ialah potensi penggunaan dron oleh kumpulan militan. Dalam serangan 11 September 2001, atau 9/11, kumpulan militan merampas 4 buah kapal terbang dan melakukan serangan berani mati terhadap sasaran AS.

Kini, kumpulan militan mungkin tidak perlu lagi merampas pesawat untuk melakukan keganasan kerana dron itu sendiri boleh digunakan untuk tujuan mengebom. Ia juga boleh diterbangkan ke kawasan sensitif atau tempat yang sesak. Dron juga mempunyai potensi digunakan untuk mengintip dan mengumpul maklumat sensitif secara haram, menyampaikan data sensitif dan banyak lagi tujuan lain.

Guna sebagai senjata

Dalam keadaan tertentu, dron boleh dilengkapi senjata. Statusnya boleh menyamai senjata lain seperti senjata api. Serangan berkaitan dron boleh dicegah jika sesebuah negara itu mempunyai kawalan penuh terhadap keselamatan ruang udaranya dan mempunyai peraturan ketat untuk penggunaan dron komersial.

Di kebanyakan negara, termasuk Malaysia dan Indonesia, orang awam bebas membeli dron komersial tetapi perlu mendapatkan lesen untuk menerbangkannya. Bagaimanapun, terdapat banyak kejadian di mana pemilik menerbangkan dron secara haram. Sebagai contoh, semasa kempen sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini, 16 orang ditahan polis kerana menerbangkan dron secara haram.

Penulis berpandangan peraturan berkaitan lesen menerbangkan dron perlu dipinda untuk memastikan orang ramai memohon lesen terlebih dahulu sebelum dibenarkan membeli dron. Dengan cara ini, pemilikan dron boleh dihadkan dan hanya pengguna yang bertanggungjawab akan diberi lesen membeli dron.

Cabaran yang menggugat keselamatan ruang udara adalah nyata dan semua negara perlu lebih memberi perhatian kepada perkara ini supaya dapat bertahan dalam era Industri 4.0.

Kerajaan dan pembuat dasar perlu mengambil serius isu ini untuk meminimumkan potensi ancaman terhadap keselamatan negara dan adalah baik untuk mengambil tindakan pencegahan kerana keselamatan ruang udara adalah sama pentingnya dengan laut dan darat.

(Penulis, Nawridho Alfismartienez Dirwan, yang berasal dari Bukittinggi di Sumatera Barat, Indonesia, adalah pelajar tahun akhir di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau yang kini melanjutkan pengajian ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Sains Politik), dalam bidang utama hubungan antarabangsa, dan mempunyai minat mendalam mengenai isu-isu keselamatan.)