Teroka gua kena ada bimbingan professional

Episod yang berlaku di Gua Tham Luang di Thailand baru-baru ini, yang menarik perhatian dunia, kembali mengimbas kenangan kejadian di Perlis pada Mac 1999 di mana 44 pelajar universiti dan 3 pemandu pelancong terperangkap lebih 24 jam di dalam gua berhampiran Gua Kelam, tidak jauh dari sempadan Malaysia-Thailand.

Para pelajar berkenaan, yang merupakan anggota Kelab Rekreasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, terkandas di tebing kolam bawah tanah yang licin kira-kira 350 meter dari pintu masuk gua sebelum diselamatkan oleh kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis.

Presiden Persatuan Speleologi Malaysia (MASA) Zainul Fikri Mohd Idris berkata kejadian seperti itu terus berlaku berikutan tahap kesedaran berkenaan ciri-ciri keselamatan masih rendah bukan sahaja dalam kalangan orang awam malah penyedia pelancongan gua di negara ini.

Speleologi merujuk kepada ilmu mengkaji dan meneroka gua, yang sentiasa menarik kunjungan mereka yang mahu menerokai keadaannya yang sejuk dan gelap, dihuni kelawar, tidak kurang dengan tumbuhan melata selain menonjolkan pembentukan stalagtit dan stalagmit umpama kristal.

Beliau berkata masih ramai penyedia pelancongan gua yang tidak mengambil serius aspek keselamatan berikutan tiadanya undang-undang atau garis panduan rasmi yang dikuatkuasakan berkenaan perkara itu.

Selain itu, tiada kelayakan rasmi yang diperlukan untuk menjadi pemandu pelancong bagi membawa pengunjung melawat dan menerokai sesebuah gua di negara ini.

“Ada yang okay dan mahir (keselamatan gua) tetapi tidaklah ramai,” katanya yang menawarkan perkhidmatan perundingan keselamatan gua sejak 2 tahun lepas.

Beliau menjelaskan antara aspek keselamatan yang sering diabai oleh pengunjung adalah pemakaian topi keselamatan ketika berada di dalam gua serta tidak bersedia dengan peralatan keselamatan seperti kotak kecemasan, tali dan sebagainya.

Kebanyakan penyedia program juga tidak mengendahkan nisbah pemandu pelancong dan pengunjung apabila seseorang pemandu pelancong diberi tanggungjawab untuk mengawasi jumlah pengunjung yang terlalu tinggi.

Menurutnya ketiadaan persiapan rapi termasuk aspek keselamatan boleh membahayakan nyawa pengunjung gua kerana musibah boleh berlaku pada bila-bila masa.

Iktibar kejadian di Thailand

Sehubungan itu, katanya, kejadian membabitkan pasukan bola sepak remaja terdiri daripada 12 pelajar sekolah menengah dan seorang pembantu jurulatih yang terperangkap lebih 2 minggu di dalam Gua Tham Luang, Chiang Rai di utara Thailand pada 23 Jun lepas diharap dapat membuka mata pihak terbabit serta masyarakat mengenai pentingnya mengamalkan langkah-langkah keselamatan dalam aktiviti penerokaan gua.

Insiden itu berakhir dengan kejayaan menyelamatkan kesemua mangsa pada 10 Julai lepas hasil kerjasama pasukan penyelamat yang terdiri daripada pasukan tentera laut Thailand dengan para sukarelawan tempatan dan antarabangsa.

Operasi menyelamat selama 3 hari itu turut melibatkan 40 penyelam tempatan dan 50 penyelam antarabangsa.

Zainul Fikri menjelaskan selain pengunjung berdepan bahaya ditenggelami air, gua-gua di Malaysia juga mempunyai ciri bahaya yang kurang diketahui umum iaitu struktur gua yang terdiri daripada batu kapur mengundang risiko permukaan dan dinding gua menjadi rapuh.

Beliau turut berkongsi kejadian dirinya terjatuh dari ketinggian 10 meter ketika berdiri di atas permukaan gua yang rapuh semasa menerokai sebuah gua yang belum pernah direkodkan di Perak.

“Kemalangan itu menyebabkan saya terlantar selama 3 bulan akibat patah tangan kanan serta retak kaki kanan, tulang belakang dan tulang dada,” kata bekas tentera berusia 39 tahun itu.

Namun, kejadian itu tidak menjejaskan minat dalam aktiviti lasak dan penjelajahan termasuk mendaki gunung, katanya yang pernah mendaki Gunung Everest bersama Persatuan Kembara Malaysia pada 2011.

Patuhi panduan asas keselamatan

Zainul Fikri yang kini pengasas dan pengusaha sebuah syarikat penyedia aktiviti luar Awan Adventure menganjurkan pelbagai program luar termasuk program penerokaan gua untuk kanak-kanak.

Beliau menekankan, eksplorasi gua boleh menjadi aktiviti yang selamat selain bermanfaat dan menyeronokkan sekiranya pihak penganjur mengikut dan mematuhi panduan asas.

“Antaranya ialah mendapatkan maklumat geologi termasuk peta gua tersebut, mengambil tahu ramalan cuaca dan memastikan peralatan yang diperlukan lengkap termasuk peralatan keselamatan.

“Dan, yang paling penting ialah mendapatkan pemandu yang bukan sahaja betul-betul faham mengenai gua tersebut tetapi juga mahir akan langkah-langkah keselamatan,” tegas beliau.

Beliau berkata masih banyak gua di Malaysia yang belum direkodkan termasuk di kawasan Merapoh, Pahang yang mempunyai lebih 100 gua.

“Di kompleks Hutan Gunung Senyum di Temerloh, misalnya, ada lebih kurang 40 gua yang dijumpai tetapi hanya 7 hingga 8 gua sahaja yang dibuka untuk orang awam.

“Satu sebabnya ialah kerana gua-gua itu belum habis diterokai dan dikaji untuk didokumentasikan,” katanya yang juga biasa mengikuti para saintis dan pengkaji meneroka gua-gua di Malaysia.

Zainul Fikri yang juga setiausaha adjunct Kesatuan Speleologi Asia (AUS) itu menimba ilmu gua menerusi penerokaan gua di luar negara seperti di Republik Czech dan China.

Menurut maklumat dalam laman web Malaysia Traveller, gua-gua di Malaysia dibahagi kepada 3 jenis iaitu gua pameran seperti Batu Caves dan Gua Tempurung, yang sudah dilengkapi dengan platform dan lampu, gua kembara di mana risiko kemalangan adalah tinggi dan gua kuil untuk tujuan ibadat.

Keunikan gua-gua di Malaysia yang kebanyakannya dikaitkan dengan cerita rakyat atau mitos setempat, meraih peminat aktiviti kembara menerokai gua atau ‘caving’ dari dalam dan luar negara.

Aktiviti itu juga semakin popular dalam kalangan masyarakat khususnya belia.

Menyedari hal itu, Zainul Fikri berkata Masa dan Awan Adventure dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Pahang mengelolakan program Simposium ‘Çavers’ Malaysia yang diadakan 2 tahun sekali sejak 2014.

Program itu mengumpulkan para pakar dan pencinta gua tempatan dan luar negara untuk berkongsi ilmu dan pengalaman.