6 makanan yang bawa kontroversi tahun ini

Siapa kata ahli politik dan golongan selebriti sahaja yang dilanda kontroversi? Makanan pun boleh dilanda kontroversi kerana isu kebersihan dan kesahihan halal yang melingkari sesuatu produk makanan tersebut. Walaupun kita baru cecah separuh jalan bagi tahun 2018, Berikut merupakan makanan-makanan yang dilanda kontroversi pada tahun 2018.

Sardin

Sardin merupakan lauk yang biasa dimasak di kebanyakan rumah di Malaysia. Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan jenama-jenama sardin tertentu yang mengandungi cacing. Antara jenama sardin yang dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan yang mengandungi cacing ialah Cinta, Sea Fresh, HS Brand, King Cup, Bintang dan TC Boy.

Rendang Ayam Crispy

Mungkin ramai yang tidak dapat melupakan isu kritikan ‘rendang ayam crispy’ selepas peserta MasterChef UK dari Malaysia, Zaleha Kadir Olpin yang disingkir kerana ayam rendangnya tidak rangup dan garing. Hakim Masterchef UK, John Torode dan Gregg Wallace melakukan penilaian terhadap makanan itu terus dibanjiri pelbagai sindiran dan serangan daripada seluruh rakyat Malaysia, Indonesia dan mereka yang mengenali masakan Melayu itu. Bukan itu sahaja, pelbagai pihak termasuk ahli politik dan selebriti, pegawai berkuasa tampil menyekolahkan kedua-dua juri itu supaya mengenali sifat sesuatu masakan terlebih dahulu sebelum menilai.

Coklat

Alahai, coklat pun dilanda kontroversi? Ya, makanan itu dikatakan kegemaran ramai itu didakwa dimakan oleh pihak polis tanpa kebenaran ketika menggeledah rumah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk siasatan berhubung 1MDB. Ekoran itu pelbagai pihak yang mempersoal dan menyindir ‘kemurahan hati’ Najib selain turut menganjurkan sesi makan coklat bersama pegawai polis. Isu itu bagaimanapun tidak dipanjangkan.

Quinoa

Lagi melibatkan bekas perdana menteri, Najib tetapi ia mengenai amalan pemakanan sihat yang diamalkan beliau. Quinoa menjadi popular apabila Najib dilapor mengamalkan pemakanan tersebut dalam diet harian. Bagaimanapun makanan itu dilanda kontroversi selepas ramai yang dikatakan memutar-belit kenyataan awal Najib mengenai amalan beliau itu. Orang ramai mula menunjukkan rasa tidak puas hari melabelkan quinoa sebagai makanan orang kaya dan Najib tidak prihatin dengan keadaan ekonomi ketika itu.

Keropok Udang

Keropok udang yang biasa dijual di tempat Rehat dan Rawat (R&R) juga dilanda kontroversi apabila menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Walau bagaimanapun, bukan semua jenama keropok udang tersebut yang menggunakan logo halal palsu. Hanya satu jenama sahaja dan kini keropok udang jenama tersebut sudah tidak dijual lagi di pasaran. Maka para pembeli tidak perlu lagi berasa khuatir untuk makan keropok udang sekiranya anda berhenti di hentian Rehat dan Rawat (R&R).

Keropok Tiger Potato Chips

Keropok ini banyak dijual di pasar raya Speedmart. Keropok ini khusus untuk golongan bukan Islam sahaja. Namun, oleh kerana keropok ini diletakkan di rak yang sama dengan keropok halal yang lain, maka keropok ini telah mengundang kontroversi. Ramai orang Islam khuatir kerana mereka tidak mahu terbeli keropok ini. Memandangkan saya jarang ke Speedmart, maka saya tidak pernah menemui keropok ini.

Artikel ini disumbangkan oleh Muhammad Nurhaqziq dari sayapejuangbahasa.blogspot.com