Ayam Brand rupanya milik warga Perancis

Sardin dalam tin merupakan makanan paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia dan Asia.

Ramai yang tidak tahu latar sejarah makanan yang ditemui di hampir setiap rumah di Malaysia, sardin dalam tin jenama Ayam Brand.

Walaupun ia seringkali disifatkan sebagai makanan orang miskin, makanan “catu”, makanan dimasak segera, makanan pelajar atau orang muda, makanan malas dan sebagainya, tujuan ia diperkenalkan adalah berbeza.

Nama Clouet masih tertera dalam cop jenama Ayam Brand.

Ya, produk ikan sardin dalam tin jenama Ayam yang pertama seumpamanya dalam pasaran makanan Asia sebenarnya dihasilkan sebagai makanan “mewah” untuk pasaran awam.

Bayangkan, sehingga lewat abad ke-19 dan awal abad ke-20, mana-mana makanan yang ditinkan tergolong dalam makanan mewah kerana ketiadaan teknologi penyejuk atau peti sejuk.

Menurut laporan South China Morning Post, jenama yang sangat dekat dengan masyarakat Malaysia, apatah lagi namanya “ayam” yang bersifat tempatan, dihasilkan oleh seorang lelaki warga Perancis di Singapura.

Menurut Kumpulan Denis seperti yang ditemuramah akhbar Cina tersebut, walaupun pihaknya menjalankan operasi perniagaan Ayam Brand, sejarah asal jenama itu bermula seawal 1892 daripada lelaki bernama Alfred Clouet.

Alfred Clouet berlayar dari Perancis ke Singapura dan membuka perniagaan makanan dalam tin untuk menawarkan makanan mewah itu kepada pasaran umum.

Clouet yang berlayar ke Singapura selepas meninggalkan Perancis dan Amerika Syarikat dikatakan mencuba beberapa perniagaan sebelum melabur dalam perniagaan makanan tin.

Dia memperkenalkan produk itu ke pasaran Asia memandangkan makanan tin yang hanya diimport ketika itu. Jadi apabila ia dihasilkan di Singapura, Clouet yakin ia akan sampai kepada umum.

Makna logo Ayam yang sebenar

Imej ayam pula digunakan sebagai logo selain nama Clouet turut dicetak dalam produk itu menggambarkan simbol tidak rasmi negara Perancis.

Kalau tak percaya lihat sahaja jersi pasukan bola sepak Perancis pada Piala Dunia yang lalu, mesti anda akan faham kepentingan yang diberikan kepada simbol ayam itu.

Menurut laman rasmi Perancis, ayam jantan menggambarkan sejarah awal keluarga Gallic yang terus digunakan sebagai penghargaan selain menggambarkan “harapan” dan “takdir”.

Sebaik memulakan perniagaan makanan tin, Clouet turut memperkenalkan beberapa produk lain seperti cendawan, kacang pea, namun sardin menjadi pilihan semua dan jualannya naik memuncak.

Bagaimanapun perniagaan itu diambil alih sepenuhnya oleh perniagaan keluarga Kumpulan Syarikat Denis Frères selepas perang dunia ke-2, iaitu 1954 ekoran Clouet mengambil keputusan berhijrah ke Mesir.

Nama Ayam juga tidak pernah diperkenalkan oleh Clouet namun ia menjadi sebutan orang tempatan di Singapura dan Malaysia, kemudian negara jiran yang lain sehingga ia digunakan secara rasmi sebelum tercetusnya perang dunia ke-2.

Pelbagai laporan lain mengesahkan, nama pengasasnya, masih boleh didapati pada beberapa nama syarikat pengedaran seperti : A Clouet & Co (KL) Sdn Bhd untuk Malaysia, Clouet Trading Pte Ltd untuk Singapura atau A Clouet (Australia) Pty Ltd untuk Australia – New Zealand. Pemilik tunggal Ayam Brand adalah sebuah syarikat yang dikenali sebagai Ayam SARL.

Kini Ayam Brand menggaji lebih 2,100 pekerja dengan operasi kilangnya di Taiping dan Batu Pahat selain di bandar raya Ho Chi Minh serta bakal dibuka di Indonesia.

Ia mengeluarkan lebih daripada 60 juta tin makanan setahun dengan produk utamanya adalah ikan yang ditinkan (sardin, mackerel, tuna), bahan-bahan Asia (kelapa, sos dan pes Asia), buah-buahan dan sayuran tin, terutamanya kacang pea panggang.