Pelajar asing selesa dengan kepelbagaian Malaysia

Gambar Bernama

Melanjutkan pengajian di luar negara memberi peluang kepada golongan belia untuk mempelajari perkara baharu selain meluaskan pengetahuan mereka.

Malah, belia yang memilih untuk melanjutkan pengajian di luar negaranya sendiri, pasti akan mendapat pelbagai pendedahan antarabangsa. Golongan muda sentiasa ingin menimba pengalaman baharu dan mereka mudah dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat serta budaya baharu.

Saya bernasib baik kerana mendapat peluang untuk belajar di luar negara dan saya memilih untuk melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia, yang terkenal dengan menara kembarnya (di Kuala Lumpur) dan masyarakatnya yang pelbagai budaya.

Masyarakat Melayu, Cina dan India mengamalkan agama dan budaya masing-masing serta mempunyai masakan, seni dan muzik tersendiri. Inilah keistimewaan Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian dan pendedahan seumpama ini memberikan saya kefahaman mendalam mengenai keindahan masyarakat majmuk.

Lazimnya, pelajar antarabangsa mendapati bahasa adalah halangan utama untuk berkomunikasi dengan masyarakat tempatan sesebuah negara yang asing baginya. Tetapi tidak di Malaysia. Ini kerana kebanyakan penduduk tempatan faham dan boleh berbahasa Inggeris walaupun tidak fasih bertutur. Bagi saya, bahasa bukanlah suatu masalah besar kerana terdapat banyak persamaan antara Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia.

Menjalani kehidupan harian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum membuka peluang dan ruang bagi seseorang pelajar asing mempelajari bahasa tambahan seperti Bahasa Malaysia, Mandarin dan Tamil. Saya juga menyedari cara pertuturan sebahagian rakyat Malaysia yang sering menamatkan ayat mereka dengan perkataan “lah”, contohnya “Jangan macam itulah!” Perkataan “lah” boleh membawa bermacam-macam maksud atau sekadar penyedap kata-kata.

Sebagai seorang pelajar, saya dapati kos bagi kehidupan di Malaysia tidaklah murah dan tidak juga mahal. Bagi saya, fikir ia sesuai untuk mana-mana pelajar sekali pun.

Dalam soal makanan pula, terdapat banyak pilihan sama ada mahu makan di gerai, atau ‘kedai mamak’ yang memang popular di Malaysia. Kebanyakan restoran mamak dibuka 24 jam dan menawarkan gabungan makanan Melayu, India dan juga Cina. Malah ada juga hidangan Barat. Untuk harga yang berpatutan, seseorang boleh makan nasi lemak, nasi goreng, mi goreng, tose, roti canai dan juga roti bakar di kedai mamak. Lazimnya, kedai mamak bukan sahaja tempat untuk menikmati makanan malah sangat popular sebagai tempat pertemuan terutamanya dengan kawan-kawan sehingga larut malam.

Pasar malam yang kerap diadakan pada hari-hari tertentu di tempat-tempat tertentu juga sangat menarik. Di situ, orang ramai boleh membeli bermacam-macam jenis makanan, minuman, buah-buahan, sayur-sayuran dan juga pakaian serta kasut.

Kadang-kadang, saya mengunjungi pasar malam hanya untuk membeli makanan seperti sate ayam dan kepak ayam panggang atau air kelapa kocak “coconut shake”.

Saya dapati rakyat Malaysia gemar minum Milo, iaitu minuman coklat dan malt. Mereka meminumnya dalam pelbagai bentuk – Milo ais, Milo panas dan Milo “dinosaur”, yang merupakan Milo ais ditabur serbuk Milo dengan banyak di permukaannya.

Saya juga menyedari rakyat Malaysia gemar makan menggunakan tangan walaupun di restoran. Berbeza di Indonesia, kebanyakan orang makan menggunakan sudu dan garpu. Saya percaya masyarakat Melayu mengikuti amalan Nabi Muhammad SAW yang makan dengan tangan kanan.

Terdapat beberapa pilihan pengangkutan awam yang sangat memudahkan dan murah untuk golongan pelajar pergi ke mana-mana bandar atau ke negeri-negeri lain di negara ini. Perkhidmatan bas dan teksi dari Kuala Lumpur juga boleh didapati untuk ke mana sahaja destinasi di seluruh negara. Malah, di bandar raya Kuala Lumpur, perkhidmatan sistem aliran ringan (LRT), monorel dan perkhidmatan terima tempahan mudah didapati dan sangat selesa bukan sahaja untuk orang ramai, malah komuniti pelajar.

Kalangan pelajar asing sememangnya sangat bergantung kepada pengangkutan awam untuk bergerak ke mana sahaja termasuk melawat tempat-tempat menarik di Malaysia. Kad pelajar untuk pengangkutan awam yang disediakan oleh kerajaan kepada pelajar tempatan dan antarabangsa membolehkan kami menggunakan pengangkutan awam pada kadar yang lebih rendah.

Malah, pelajar boleh mendapat diskaun untuk tiket masuk ke beberapa destinasi pelancong, sekiranya menunjukkan kad pelajar mereka.

Setelah tinggal di negara ini selama 4 tahun, Malaysia menjadi rumah kedua bagi saya. Memang terdapat suka duka tinggal di perantauan tetapi saya semakin serasi dengan makanan, suasana dan masyarakat negara ini yang peramah.

Kehidupan saya di Malaysia sebagai pelajar pastinya menjadi pengalaman berharga dan tidak akan dapat dilupakan. Negara ini memberi peluang untuk saya lebih mengenali diri sendiri, menjadi lebih mandiri dan sabar ketika berhadapan orang lain. Pengalaman di sini juga mengajar saya untuk benar-benar menghargai kepelbagaian Malaysia.

(Penulis, Safira Pratiwi Satriyandinar, yang berasal dari Jakarta, Indonesia, kini melanjutkan pelajaran dalam bidang komunikasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkongsi pengalamannya mengenai Malaysia di mata seorang penuntut asing.)