Netizen berang bilik sewa bersaiz kubur

Seorang netizen kecewa dan berang apabila ditawarkan sebuah bilik sewa yang saiznya hampir sama besar dengan keluasan tanah kubur.

Lelaki tersebut yang menggunakan nama, Aneurin Nanggar berkongsi rantaian Tweet berhubung ketidakpuasannya terhadap bilik yang ditawarkan dengan memuat naik gambar bilik tersebut.

Kelihatan ia bilik yang memanjang dengan kelebaran yang sempit, mungkin muat untuk tilam “single” sahaja.

Ekoran Tweet itu, ramai yang tampil menunjukkan sokongan selain menawarkan bilik sewa yang lebih besar dan selesa kepada Aneurin.

Di samping saiz bilik, Aneurin turut berkongsi gambar penghawa dingin yang dibahagikan kepada 2 bilik dengan menebuk ruang pada dinding.

Dia juga mendedahkan lokasi rumah itu yang berada di sekitar Padang Jawa iaitu berdekatan dengan I-City di Shah Alam.

Ia turut mengundang kemarahan netizen yang menyatakan ruang tersebut kelihatan seperti bilik persalinan atau “fitting room”.

Ada juga yang menyindir ia lebih besar dari tandas rumah atau tandas sesetengah pasar raya.

Tidak ketinggalan ada beberapa pengguna yang akui saiz bilik seperti itu sangat popular di Hong Kong ekoran permintaan tinggi terhadap ruang tempat tinggal.

Apapun mencari bilik atau rumah sewa di bandar raya yang menawarkan banyak peluang kerja bukanlah mudah. Ada yang mencari untuk berbulan-bulan dan akhirnya terpaksa mengalah. Sama ada memilih untuk membayar sewa yang tinggi atau tinggal berjauhan dari tempat kerja demi bilik yang murah.

FMT Ohsem juga menyenaraikan 7 cabaran yang dihadapi orang ramai dalam mencari rumah atau bilik sewa, antaranya:

1. Notis “hanya untuk Cina”, “hanya untuk Melayu” atau pengkhususan tertentu yang tidak masuk akal atau bersifat perkauman.

2. Rumah senang naik air (banjir) dan masalah lain yang tidak diberitahu awal.

3. Mahal sehingga mencecah RM600 untuk sebuah bilik saiz sederhana.

4. Rakan serumah yang tidak sekepala atau terlalu ramai.

5. Rumah puaka atau berhantu.

6. Pemilik rumah yang terlalu tegas, buat spot check hampir setiap minggu.

7. Kawasan rumah yang tidak selamat – banyak orang asing, kes kecurian, tidak bersih dan sebagainya.