Bukan mudah amal pemakanan berkhasiat

Mengambil makanan yang berkhasiat adalah sesuatu yang penting untuk menjaga kesihatan. Jika kita sering mengambil makanan yang tidak berkhasiat, kesihatan kita pasti akan terjejas.

Bagaimanapun, bukan mudah untuk mengamalkan pemakanan sihat dan berkhasiat. Ini kerana, kita sering kali dipengaruhi perkara-perkara tertentu yang menyebabkan kita gagal berbuat demikian.

Di bawah merupakan sebab-sebab yang menggagalkan usaha pengambilan makanan berkhasiat:

Sering diajak makan oleh kawan

Setiap kali ingin mengambil makanan yang berkhasiat, pasti ada kawan-kawan yang mengajak kita makan di restoran. Kita tidak pasti bagaimana makanan di restoran itu disediakan, tahap kebersihan dan kesihatan, sama ada berkhasiat atau sebaliknya. Namun, oleh kerana mahu menjaga hati kawan, maka terpaksa melupakan hasrat kita untuk makan makanan yang berkhasiat itu.

Malas

Kita bukan sahaja malas untuk menyediakan makanan yang berkhasiat, malah kita juga malas untuk makan makanan yang berkhasiat. Hal ini kerana, pada kebanyakan masa, makanan berkhasiat kurang enak dan tidak menepati citarasa. Apatah lagi jika terbiasa dengan makan makanan bergula, bercitarasa dan sebagainya.

Kurang motivasi

Kekurangan motivasi menyebabkan kita tidak tergerak untuk memilih makanan yang berkhasiat. Kita mungkin tidak mempunyai seseorang yang boleh memberi motivasi untuk mengambil makanan berkhasiat memandangkan kita. Oleh yang demikian, kita akan mudah mengalah dan patah semangat.

Banyak makanan yang enak

Malaysia adalah sebuah negara yang mewah dengan makanan yang enak dan sedap. Ke mana sahaja kita pergi, kita tidak boleh lari dari makanan yang enak dan sedap itu. Maka, hasrat kita untuk mengambil makanan yang berkhasiat sering kali musnah gara-gara melihat makanan yang sedap-sedap dan enak-enak di sekeliling kita.

Kawan sering memuat naik gambar makanan di media sosial

Malang sekali apabila kita mempunyai kawan yang suka makan dan lebih dari itu, memuat naik gambar makanan di media sosial. Perbuatan memuat naik gambar makanan yang enak-enak, mungkin boleh buat nafsu makan kita tergugat. Memang sukar nak kawal terutama jika ia melibatkan makanan kegemaran kita. Maka, kita pun akan terpengaruh untuk makan makanan tersebut.

Ibu bapa paksa makan

Kasih sayang ibu bapa yang disalah guna. Apabila ada ibu bapa yang mengambil makanan yang berkhasiat dan paksa kita untuk memakannya, memanglah sukar. Walaupun dimasak sendiri tetapi ia mungkin makanan bergoreng, manis dan tidak sihat. Oleh kerana mereka sudah pun masak dan memaksa kita untuk menghabiskan makanan tersebut kerana tidak mahu membazir, terpaksalah.

Perlu melayan pelanggan atau pembekal

Kes sebegini biasanya dialami oleh orang yang berniaga atau mereka terlibat dalam bidang melayan ‘klien’. Keperluan melayan pelanggan atau pembekal menyebabkan kita membawa mereka ke restoran makanan yang enak tetapi tidak pasti sama ada berkhasiat atau tidak. Yang pasti, kita pun perlu meneman makan sekali demi menjaga hati mereka. Maka, hasrat kita untuk mengambil makanan yang berkhasiat pun lantas musnah!

Kurang tekad dan kesabaran

Tekad dan kesabaran adalah sesuatu yang amat penting dalam menjalani hidup yang sihat. Hal ini kerana, cabaran itu sering datang daripada pelbagai arah. Kita perlu sentiasa menguatkan tekad dan perlu banyak bersabar untuk mengambil makanan yang berkhasiat. Jangan mudah terpengaruh dengan perkara-perkara negatif yang berlegar-legar di sekeliling kita.

Tidak mempunyai niat

Dalam Islam, apa pun yang kita lakukan mestilah bermula dengan niat. Sebab itulah kita mesti mempunyai niat yang baik jika kita ingin melakukan sesuatu. Jika sedari awal lagi kita sememangnya tidak mempunyai niat untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat, bagaimana mungkin kita akan mengambil makanan yang berkhasiat?

Tidak suka membazir

Tidak suka membazir ini merupakan kes yang terpencil. Perkara ini terjadi apabila kita membeli makanan yang tidak berkhasiat, tetapi tiba-tiba sahaja (entah bagaimana) kita memasang niat untuk mengambil makanan yang berkhasiat. Namun, oleh kerana kita sudah banyak membeli makanan yang tidak berkhasiat, maka kita terpaksa melupakan hasrat kita untuk mengambil makanan yang berkhasiat tersebut supaya tidak membazir.

Sibuk bekerja

Sibuk bekerja juga adalah antara faktor yang mendorong seseorang untuk mengambil makanan yang tidak berkhasiat. Apabila kita sibuk bekerja, maka kita akan menjadi letih. Oleh kerana kita terlalu letih, maka kita mengambil apa-apa sahaja makanan sama ada makanan itu berkhasiat atau tidak.

Selalu tertekan

Terdapat segelintir orang yang akan makan dengan sebanyak-banyaknya apabila tertekan. Tabiat ini bukanlah tabiat yang baik. Jika kita tertekan sekali sekala tidak mengapalah juga. Bagaimana jika kita selalu tertekan? Pasti kita akan banyak mengambil makanan yang tidak berkhasiat. Adalah sesuatu yang janggal apabila kita berada dalam keadaan tertekan, kita hanya mengambil sayur-sayuran sahaja untuk menghilangkan tekanan kita.

Berazam dan berusahalah untuk mengambil makanan yang berkhasiat setiap hari jika kita ingin hidup lama dan kekal sihat sentiasa.

Artikel ini disumbangkan oleh Muhammad Nurhaziq dari sayapejuangbahasa.blogspot.com