6 tips gaya hidup sihat kawal tekanan darah

Tekanan darah tinggi menjadi salah satu penyakit kronik yang umum dalam kalangan rakyat Malaysia. Menurut satu laporan, 1/3 daripada rakyat Malaysia tidak mengetahui mereka sedang mengalami tekanan darah tinggi.

Kadar peratusan penyakit tekanan darah semakin meningkat dalam kalangan orang dewasa berusia 18 tahun ke atas yang mencecah 30%. Lebih membimbangkan adalah bagi setiap 2 pesakit yang mengalami tekanan darah tinggi, terdapat 3 pesakit tidak menyedari mereka menghidap penyakit ini.

Bagi menanganinya, kita kenalah mengamalkan gaya hidup yang berkualiti. Ini juga kerana tekanan darah juga dikaitkan dengan pelbagai penyakit lain seperti serangan kardio atau sakit jantung, diabetes dan angin ahmar.

Di bawah adalah beberapa amalan gaya hidup mudah yang mungkin boleh membantu dalam menurunkan tekanan darah di samping meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh oleh laman web kesihatan Mayoclinic.

1. Senaman

Dah berbuih mulut memesan untuk melakukan senaman. Alasan paling umum adalah tiada masa. Senaman merupakan salah satu amalan yang paling berkesan untuk menyihatkan badan dan menghindari penyakit termasuk tekanan darah.

Mungkin ketika bertemu dengan rakan, daripada lepak di kedai mamak, apa kata anda ajak mereka berjalan di taman atau sekitar kawasan perumahan. Anda juga boleh menggunakan tangga sewaktu turun naik di pejabat.

2. Kurangkan berat badan

Apabila berat badan anda diturunkan secara sihat, percayalah, sebahagian daripada kesan tekanan darah tinggi anda pun dapat dikawal. Amalkan pemakanan sihat dan senaman yang sesuai untuk menurunkan berat badan.

Contohnya latihan di gim, jogging, berbasikal, berenang, atau yoga.

3. Berhenti merokok

Jika anda dikesan berpotensi mendapat tekanan darah dan anda merupakan seorang perokok, masa untuk mengurangkan bilangan rokok dan berhenti merokok sepenuhnya. Bagi mereka yang tidak merokok, jauhi diri anda dari asap rokok untuk mengelakkan kesan kesihatan menjadi perokok pasif.

4. Waspada dengan kandungan makanan

Bila makan pastikan anda berwaspada dengan kandungan makanan itu. Caranya, baca label dan awasi kandungannya. Kurangkan makanan yang tinggi natrium dan terlalu masin. Makanan ringan dan segera mengandungi banyak natrium atau garam. Persatuan Jantung Amerika mencatatkan roti, daging yang dibungkus dan sup dalam tin mempunyai kandungan natrium yang sangat tinggi.

5. Masak sendiri

Masak sendiri adalah amalan yang paling sihat dan selamat jika anda mahu menurunkan tekanan darah. Ini kerana kita boleh memastikan makanan yang dimasak adalah daripada bahan yang berkualiti dan berkhasiat.

Berbeza dengan makanan yang diproses, yang mengandungi jangka hayat panjang kerana menggunakan pelbagai bahan kimia, garam, lemak dan gula.

Pilih masak di rumah walaupun membabitkan masakan yang mudah atau simple. Lagipun banyak resipi makanan sihat yang sedap boleh didapati di internet.

6. Makan buah dan sayur

Buah dan sayur kaya dengan serat, vitamin, kalium, antioksidan dan magnesium. Jadi, diet yang kaya dengan buah-buahan dan sayur-sayuran dapat membantu menurunkan tekanan darah. Malah kajian menunjukkan buah-buahan juga boleh menghalang kita daripada diserang tekanan darah di kemudian hari.