PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan tular bahawa pihaknya telah menangkap salah seorang daripada 1.2 juta pelancong China yang dikatakan akan menjadi pengundi hantu pada PRN Sabtu ini.
“SPR menegaskan bahawa dakwaan tersebut palsu dan orang ramai disaran agar tidak mudah terpedaya dan menyebarkan sebarang maklumat yang tidak pasti kesahihannya,” katanya dalam kenyataan menerusi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).
Terdahulu tular menerusi aplikasi mesej dakwaan bahawa pelancong China yang ditangkap itu antara 1.2 juta yang “hilang” daripada sistem imigresen dan kastam.