Tiada kaitan PRU13, terima sebagai sejarah

PETALING JAYA: Pengarah filem Tanda Putera Datin Paduka Shuhaimi Baba menegaskan produksinya bukan alat propaganda mana-mana parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 13 (PRU13).

Menyifatkannya sebagai kebetulan, Shuhaimi berkata sebagai penggiat seni perfileman, karyanya itu telus berdasarkan hasil kajian daripada pelbagai dokumen asal termasuk laporan Mageran.

Selain itu, temubual dengan keluarga terdekat mantan Perdana Menteri Kedua Allahyarham Tun Abdul Razak dan timbalannya Tun Dr Ismail turut dijadikan sumber jalan cerita.

Malah, pihaknya turut mengalami beberapa kesulitan bagi mendapatkan tarikh terbaik sehingga memutuskan untuk menayangkannya pada 15 November depan.

“Sama ada PRU tahun lepas atau tahun depan, tiada kena mengena dengan filem ini. Kita bukan organ propaganda,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, masyarakat kini seharusnya cukup matang menerima hakikat sejarah proses pembentukan negara walaupun menyentuh peristiwa sisi gelap peristiwa 13 Mei 1969.

Katanya, pihaknya sama sekali tiada niat untuk menganiaya mana-mana pihak atau sengaja menimbulkan kembali kemarahan masyarakat berbilang kaum kerana baginya semua babak dalam filem itu berasaskan fakta sejarah.

“Sudah tiba masanya anda menonton sejarah negara anda. Ini sejarah kita jadi kita mesti hadapinya,” katanya.

Sementara itu, beliau menafikan ada pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir ke tayangan pra-tonton filem itu, sebaliknya hanya penyokong parti.