209 mati dalam tahanan sejak 2000

KUALA LUMPUR: Seramai 209 orang kena tahan meninggal dunia sejak tahun 2000 sehingga September tahun ini.

Bagaimanapun bukan semua kematian yang beraku adalah disebabkan oleh polis.

“Harus difahami, bahawa tidak semua kematian berlaku di dalam lokap polis sebaliknya sebahagian besar  di hospital.

“Di antara punca-punca kematian adalah disebabkan oleh HIV/AIDS dan penyakit-penyakit lain seperti tibi, hepatitis C, asma dan (sakit) jantung,” kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam jawapan bertulis beliau kepada Ahli Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him.

Hishamuddin menambah bahawa Polis Di Raja Malaysia prihatin terhadap tahap kesihatan tahanan dalam lokap dan perhatian khusus terhadap golongan yang berisiko tinggi dan kes kritikal.

“Jika tahanan sendiri tidak mendedahkan masalah kesihatan yag dihadapi, adalah sukar bagi pihak polis untuk membantu mereka,” tambah beliau.

Menurut Hishamuddin terdapat satu aduan berkaitan kematian orang kena tahan dan seorang anggota polis telah menghadapi tuduhan dan dibicarakan di bawah Seksyen 330 dan 331 Kanun Keseksaan.

“Selain itu, tatacara pengendalian kes kematian dalam tahanan dibuat berdasarkan Standard Operating Procedure (SOP) yang diperbaharui. Setiap kes kematian dalam tahanan disiasat di bawah Kanun Tatacara Jenayah,” kata Hishammuddin.