Archived: Sumbangan Sabah Filem dalam industri filem di Malaysia

Hiburan

oleh melati pusaka

Selepas penutupan Merdeka Studio milik Shaw Brothers di Kuala Lumpur pada awal tahun 70an, industri filem negara dikejutkan dengan penglibatan Sabah Filem Production. Syarikat tersebut adalah dimiliki oleh seorang usahawan balak terkenal di Sabah, Deddy M. Borhan.

M.Borhan muncul dalam dunia perfileman tanahair ketika filem Melayu sedang mengalami zaman kemerosotannya. Dunia filem Melayu hampir berkubur selepas Studio Merdeka di Hulu Klang menghentikan operasinya akibat kehilangan penonton. Beliau yang dianggap orang bukan di kalangan orang filem ketika itu telah membangkitkan era kebangkitan filem Melayu selepas pasca Studio Malay Film Production (MFP) dan Cathay Keris Film di Singapura.

Kalau dahulu penerbitan filem berpusat di Kuala Lumpur dengan filem hitam putih, tetapi Sabah Filem memberi nafas baru kepada penerbitan filem Melayu berwarna di negara ini.

Deddy M Borhan adalah suami kepada Amisah Borhan yang juga Ketua Wanita USNO di zaman Tun Datu Mustapha Datu Harun memerintah Sabah. Bagaimanapun jodoh mereka tidak lama. Deddy selepas itu kahwin dengan penyanyi dari Singapura, Junainah M. Amin.

Nafas Baru

M.Borhan berjaya memberi suntikan semangat dan nafas baru kepada dunia filem Melayu apabila beliau menubuhkan Sabah Film Productions di Kuala Lumpur dengan berbekalkan sedikit modal. Beliau mula mengorak langkah dengan menerbitkan Filem Keluarga Si Chomat pada tahun 1975.

“Saya tanya Aziz (Sattar), kau boleh arah? Aziz jawab saya cuba-cuba. Selepas itu kami beli peralatan filem dari Hongkong. Aziz tulis skrip dan arahkan.”.

“Awalnya memang Aziz gusar memikul tanggungjawab itu kerana pengalamanya mengarah tidak begitu banyak.Saya katakan padanya, tidak apa, tulis dulu skrip dan saya akan uruskan hal lain seperti membeli peralatan kamera, cari jurukamera dan krew filem yang lain.

“Akhirnya lahirlah filem Keluarga Si Comat dan sambutan penonton ketika itu sungguh menggalakkan, ” kata Deddy M.Borhan dalam satu pertemuan dengan Utusan Borneo tidak lama dahulu.

Walaupun beliau menjadi penerbit filem, M.Borhan sanggup untuk turut sama mengangkat kerusi, menyediakan set dan props, sistem tata cahaya, kamera, hinggalah sudut pengarahannya.

Selepas kejayaan kejayaan Keluarga Si Comat. M.Borhan menerbitkan pula filem Hapuslah Air Matamu yang menggandingkan penyanyi Broery Marantika, pelakon terbaik Indonesia, Christine Hakim, Datuk Sharifah Aini dan Latiff Ibrahim. Filem itu menjadi satu fenomena besar dalam perkembangan filem Malaysia seterusnya. Lagu-lagunya jadi siulan peminat sehingga hampir setiap rumah memiliki kaset lagu daripada filem itu.

Keperitan

Keperitan menerbitkan filem dan persaingan dalam industri filem tidak pernah mematikan semangat M.Borhan. Beliau kemudian mengarahkan filem Pendekar arahan M.Amin dan sekali lagi mengundang pelakon Indonesia, Farouk Afero dan digandingkan dengan Teh Faridah dan Malik Selamat. Bagaimanapun, penerbitan filem Hapuslah Air Matamu dan filem Pendekar menerbitkan kecemburuan pengeluar filem lain.

Beliau kemudian menerbitkan filem Si Badul arahan Aziz Sattar dan dilakonkan oleh AR Badul dan Allahyarham R.Jaafar. Nama AR Badul dan R.Jaafar memang cukup popular di kalangan penonton kerana sering muncul dalam program TV.

Filem Si Badul mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para peminat filem Melayu dan menjadi Filem Box Office. Kutipannya mencecah RM2 juta, satu jumlah yang cukup banyak jika diambil kira harga tiket pada waktu itu.

Sejak itu, kata M.Borhan, banyak syarikat filem muncul menerbitkan filem Melayu. Sepanjang pembabitannya selama lebih kurang 15 tahun dalam industri filem tanahair, M.Borhan sempat menerbitkan sebanyak 18 buah filem.

Pengganti

Kini beliau berusia 62 tahun. Pada ketika mula-mula menceburkan diri dalam dunia filem yang penuh risiko ini, M.Borhan baru berusia 31 tahun.

Beliau bukan sahaja menerbitkan filem malah beliau turut berlakon. Dalam filem Pendekar, orang keliru siapakah hero yang sebenar, adakah Aziz Jaafar atau Deddy M. Borhan? Dalam filem tersebut watak beliau yang lebih menonjol dari Aziz Jaafar yang digandingkan dengan Noor Azizah.

Deddy bukan sahaja menunjukkan bakatnya sebagai pelakon malah sebagai penyanyi. Dalam filem Pendekar, beliau juga menyanyi.

Ketika itu ada orang yang berpendapat Deddy M Borhan bakal pengganti P. Ramlee kerana dia adalah seniman serba boleh. Cuma P. Ramlee boleh berlakon dan menyanyi, mengarah filem tetapi tidak menjadi penerbit filem.

Deddy bukan sahaja menerbitkan filem malah mengarah filem Sumpah Semerah Padi yang dikatakan sebagai sekuel kepada Semerah Padi arahan P. Ramlee. Malah filem Azura yang mendapat box office turut diarahkannya.

Sebagai penerbit filem, Deddy memberi peluang kepada hero baru. Dahlan Zainuddin yang popular dengan lagu Kisah Seorang Biduan dijadikan hero filem Kisah Seorang Biduan yang diterbitkan pada tahun 1979. Dahlan digelar Superstar kerana melonjak naik selepas filem itu berjaya di box office.

Seorang lagi penyanyi, Jamal Abdillah yang dicungkil bakatnya melalui Bintang RTM ditonjolkan juga sebagai hero filem Azura yang digandingkan dengan Fauziah Ahmad Daud anak seniwati veteran, Saadiah dan biduan Ahmad Daud. Filem ini meletup di pasaran dan kisah cinta remaja itu menjadi sebutan.

Mencungkil

Sebelum itu Deddy mencungkil bakat seorang pemenang Bakat tv, A.R.Badol melalui filem Si Badol.

Filem komidi Si Badul mengutip hampir RM2 juta, kutipan selepas ditayangkan selama 60 hari di panggung Coliseum dan 102 hari di Panggung P.Ramlee dan menjadi antara filem Melayu yang paling lama bertahan di pawagam. Selepas itu A.R. Badol muncul lagi dalam filem terbitan Deddy seperti Pendekar Badol dan sebagainya.

Sumbangan Deddy bukan sahaja terhad di Malaysia malah terkenal di Indonesia apabila beliau melibatkan aktor Indonesia, Farouk Afero dalam filem terbitannya, Pendekar. Malah beliau yang memperkenalkan Breory Marantika dengan Sharifah Aini dalam filem musikal Hapuslah Air Matamu.

Ia adalah strategi perniaaan Deddy dengan harapan filemnya dapat ditayangkan di Indonesia. Tetapi tembok itu sukar dipecahkan kerana dasar kerajaan Indonesia yang agak ketat. Sebaliknya filem Indonesia serta lagu Indonesia begitu mudah masuk ke Malaysia. Perniagaan yang berat sebelah.

Mengiktiraf

Finas mengiktiraf sumbangan Deddy dan beliau telah menjadi penerima Anugerah Perfileman FINAS 2006 sebagai Tokoh Filem Nasional.

Kewujudan Sabah Film lebih selama lebih sedekad memberikan sumbangan yang bererti dunia perfileman tanahair. Beliau boleh dianggap sebagai penyelamat filem Melayu ketika itu dan satu-satunya penerbit Filem Bumiputera yang unggul, kata Yusof Haslam lagi dalam tulisannya mengenai tokoh filem ini.

Borhan bukan saja seorang penerbit filem, pelakon, pengarah filem, pemuzik, pencipta lagu dan penyanyi. Malah M.Borhan adalah pengasas dan presiden pertama Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanahair (PAPITA) pada tahun 1977.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia perfileman tanahair, M.Borhan melalui Sabah Film Production telah menerbitkan Keluarga Si Chomat (1975) , Hapuslah Air Matamu (1976) Pendekar (1977),Gila-Gila, Kisah Seorang Biduan, Si Badol, Si Luncai dan Tuan Besar (1980),Sumpah Semerah Padi dan Toyol (1981) Bertunang (1982) Manis-Manis Sayang dan Mat Salleh Pahlawan Sabah (1983), Azura, Di Ambang Kasih, Pagar-Pagar Cinta dan Talaq (1984) Si Jantung Hati (1985).

Anak Watan

Deddy M.Borhan, anak watan negeri Sabah ini dipilih sebagai Tokoh Filem Nasional 2006 dan merupakan penerima anugerah itu yang ketiga selepas anugerah itu diperkenalkan pada tahun 2002. Penerima pertama anugerah itu ialah Tan Sri Dato Seri Utama Abdul Samad Idris (2002) dan penerima kedua ialah Datuk Jamil Sulong (2004).

Beliau menerima hadiah wang tunai RM30,000, selempang, sijil dan pingat Finas yang disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim pada malam Jubli Perak Finas di sebuah hotel terkemuka , di ibu negara, 10 November lalu.

“Ini merupakan satu penghormatan yang besar untuk saya,” kata Deddy M.Borhan, yang merupakan satu-satunya pengarah filem dari Sabah yang mencipta nama di Semenanjung pada era 70-an dan 80-an serta menyelamatkan maruah filem Melayu satu ketika dulu.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa depannya, M.Borhan yang meminta `art film’ ini bercadang untuk menerbitkan sebuah filem besar mengenai Perang Pandasan.

“Peristiwa Perang Pandasan ini boleh dijadikan satu filem yang menarik. Kita akan menulis skrip filem ini dari pelbagai sudut, pro dan kontranya. Kita akan menonjolkan sisi-sisi positif dan negatif pelbagai tokoh yang terlibat di dalamnya. Biarlah penonton yang akan menghakimi peristiwa sejarah itu dengan adil,” katanya.

Di sebalik kesibukannya kini, M.Borhan masih sempat juga mengikuti perkembangan filem mutakhir di tanahair dan antarabangsa. Kita harap Deddy M.Borhan kembali semula meneruskan perjuangan dan mendaulatkan filem Melayu di negara ini.