PPBM Selangor setuju teruskan perbincangan kerusi, kata Azmin

azmin-ali-ppbm-kerusiAMPANG: Datuk Seri Azmin Ali berkata PPBM Selangor bersetuju meneruskan perbincangan pengagihan kerusi DUN selepas pengerusi parti itu semalam berkata mereka menolak keputusan Pakatan Harapan negeri yang memutuskan rundingan ke atas 35 kerusi DUN sudah selesai.

PPBM Selangor menolak keputusan PH negeri sebagai respon kepada tuntutan PKR negeri ke atas 12 kerusi DUN milik Umno Selangor.

“Saya sudah berjumpa dengan Pengerusi Datuk Abdul Rashid Asari semalam dan saya gembira yang PPBM Selangor akan teruskan berbincang,” kata Azmin kepada pemberita di satu majlis di Masjid Ukay Perdana hari ini.

Azmin adalah pengerusi PH Selangor, yang dianggotai oleh PKR, PPBM, DAP dan Amanah negeri.

Rundingan pengagihan kerusi DUN Selangor sepatutnya diselesaikan pada 31 Januari lepas, namun dilanjutkan ke minggu ini berikutan pertikaian antara keempat-empat komponen PH.

Selangor mempunyai 56 kerusi DUN, di mana PKR mempunyai 13 kerusi, DAP 14 kerusi dan Amanah 2 kerusi. PAS mempunyai 13 kerusi dan Umno 12 kerusi. Dua kerusi bebas, iaitu Pelabuhan Klang dan dan Teluk Datok dahulunya kerusi PKR dan DAP.

Keseluruhannya, PH mempunyai 29 kerusi.

Sebelum ini media melaporkan semua kerusi yang dimenangi parti-parti PH pada PRU13 akan kekal milik parti penyandang. Parti serpihan PAS, Amanah, dijangka akan bertanding di 13 kerusi PAS sementara parti serpihan Umno, PPBM, pula dijangka akan bertanding di 12 kerusi Umno.

PPBM Selangor bagaimanapun berkata PKR mahukan semua kerusi Umno yang sepatutnya ditandingi mereka. Amanah juga dilaporkan tidak berpuas hati dengan agihan kerusi negeri.

“Insya Allah dalam masa terdekat kita akan selesaikan masalah ini. Saya percaya boleh selesai,” kata Azmin.

Kelmarin, Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh berkata PH Selangor berjaya menyelesaikan rundingan 35 daripada 56 kerusi DUN, melibatkan kerusi asal yang ditandingi PKR, DAP dan wakil-wakil rakyat Amanah pada pilihan raya umum lepas.

Ini bermakna PH setakat kelmarin hanya berjaya menyelesaikan rundingan untuk 4 kerusi sahaja.

PPBM Selangor tegas mahu 12 kerusi DUN, tidak iktiraf keputusan PH