PPBM: PAS dan Umno mungkin berganding di Sabak Bernam

umno-dan-pas-kerjasamaPETALING JAYA: Seorang pemimpin PPBM di Sabak Bernam menyuarakan kebimbangan berkenaan kemungkinan Umno dan PAS bergabung untuk bertanding di kerusi itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Ketua PPBM Sabak Bernam Mohd Hamizar Sulaiman berkata PAS dan Umno dianggap “parti kuat” di kawasan itu.

“Jika kita lihat keputusan PRU lepas bagi 2 kerusi DUN Sungai Ayer Tawar dan Sabak, pertarungan hanya antara PAS dan Barisan Nasional,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Hamizar berkata, jika PAS dan BN menentang sesama sendiri pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) berpeluang menang di situ.

“Ini kerana berdasarkan pemerhatian kami di lapangan, kami berpendapat majoriti pengundi Cina di Sabak Bernam dan lebih separuh daripada penduduk India akan menyokong PH.

“Saya akan cuba mendapatkan lebih kurang 30% sokongan Melayu,” tambahnya.

Pada 2013, calon BN, Datuk Mohd Fasiah Fakeh memperoleh 16,387 undian, mengalahkan Dr Abdul Aziz Bari yang mewakili PKR, dengan majoriti 1,644, di kerusi Parlimen Sabak Bernam.

PAS meletakkan calonnya Sallehen Mukhyi dan menang dengan hanya 399 undian, sementara BN memenangi Sungai Ayer Tawar.

Sabak Bernam adalah kawasan majoriti Melayu dan antara kawasan Parlimen terkecil di Malaysia, dengan 37,126 pengundi.

Mereka yang mengkritik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas salah pembahagian sering memetik Sabak Bernam sebagai contoh, membandingkannya dengan kerusi Kapar di Selangor yang mempunyai bilangan pengundi teramai iaitu 146,000.

SPR juga didakwa gagal menyelesaikan ketaksamaan pengundi dalam proses persempadanan semula kerana Kapar mempunyai jumlah pengundi 4 kali ganda berbanding Sabak Bernam.

Menurut Hamizar, jentera pilihan raya di Sabak Bernam hampir bersedia dan bakal dilancarkan sebelum Mac jika PRU diisytiharkan.

Hamizar yang pernah bertugas sebagai pegawai khas kepada bekas Ahli Parlimen Sabak Bernam dari BN, Datuk Abdul Rahman Bakri, berkata sebelum ini beliau membantu Umno mendapatkan sokongan akar umbi.

“Saya berkempen untuk Abdul Rahman semasa beliau bertanding di kerusi DUN Sabak pada 2004 dan kerusi parlimen Sabak Bernam pada 2008, yang mana beliau menang.”

Hamizar berkata memandangkan beliau berpengalaman mengurus kempen dan berkhidmat untuk rakyat, beliau percaya beliau mampu bantu PH menawan kerusi kecil itu.

“Saya mahu membangunkan ekonomi di kawasan ini dengan mewujudkan pasar borong di mana mereka seperti pelancong boleh datang membeli dan memeriahkan lagi pekan ini.

“Sama seperti yang dilakukan di Sekinchan di mana pelawat datang membeli produk tempatan di kampung,” katanya, menyuarakan hasrat untuk berjuang bersama komponen parti terbaru PH di Sabak Bernam.

“Jika kampung meriah, akhirnya negeri atau kerajaan persekutuan akan membangunkan tempat ini,” tambahnya.