Mah akui peluang pertahan Teluk Intan 50-50

mah-siew-keongKUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Datuk Seri Mah Siew Keong mendekati pilihan raya umum ke-14 secara realistik dan mengakui peluang mempertahankan kerusi Teluk Intan adalah 50-50.

Presiden Gerakan berkata dirinya berdepan cabaran besar memandangkan peratusan etnik berbeza yang seimbang dan majoriti undi tipis yang dimenanginya pada pilihan raya kecil 2014.

“Pada PRK lalu hanya menang majoriti 238 undi. Bukan senang dengan pengundi terdiri daripada pelbagai kaum, iaitu Cina 40%, Melayu 40% dan India 20%.

“Kita juga mesti akui pada PRU13, kita kalah 7,313 undi dan itu satu angka besar,” katanya pada sidang media di majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Gerakan di Dewan Wawasan Tun Dr Lim Keng Yaik, Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia.

Pada PRK Teluk Intan 2014, Mah menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan 20,157 undi berbanding 19,919 undi.

PRK diadakan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng, 48, akibat kanser. Pada PRU13, Seah menewaskan Mah dan calon bebas, K Moralingam dengan majoriti 7,313 undi.

Dalam pertembungan itu, Mah seorang warga tempatan mencabar DAP yang menurunkan calon Melayu muda. DAP mempertahankan Teluk Intan bersama gabungan pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat, dan dengan harapan populariti Dyana di laman sosial akan diterjemahkan di lapangan.

Mah berkata walaupun parti pembangkang mempunyai pengaruh lebih besar di laman-laman sosial, beliau yakin pengundi tidak akan melupakan khidmatnya dan pembangunan yang dibawa ke Teluk Intan.

“Ada banyak pemimpin pembangkang datang ke Teluk Intan dan kata mahu hapuskan Gerakan. Itu semua retorik. Selama 3 tahun kita buat banyak aktiviti dan kemudahan seperti membina universiti dan tebatan banjir.

“Kalau tanya saya, peluang mengikut peratus adalah 50-50,” katanya.