Amanah yakin kekal di Sepang

hanipa-3
Hanipa Maidin merupakan antara bekas pemimpin PAS yang menang di bawah tiket parti Islam itu pada pilihan raya umum 2013. (Gambar Facebook).

PETALING JAYA: Amanah yang mengambil alih Sepang selepas wakil rakyatnya keluar PAS pada 2015, yakin parti itu akan menang kerusi Parlimen itu pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Amanah Sepang, Zulkarnain Yazid berkata beliau percaya sesiapa yang parti itu putuskan untuk bertanding di Sepang akan mendapat sokongan pengundi.

Ahli Parlimen Sepang kini, Hanipa Maidin memenangi kerusi di bawah tiket PAS pada PRU lepas. Beliau antara bekas pemimpin dan ahli PAS yang menubuhkan Amanah pada 2015, susulan muktamar yang menyaksikan perpecahan parti Islam itu.

Bagaimanapun, kali ini, Amanah percaya sokongan Pakatan Harapan (PH) akan menguatkan kedudukannya.

“Peluang menang di Sepang cerah kerana kita bukan sahaja membawa bendera Amanah, tetapi juga bendera parti lain dalam PH,” kata Zulkarnain, merujuk anggota lain PH iaitu PKR, DAP dan PPBM.

Beliau menepis dakwaan mengatakan Hanipa memenangi kerusi itu pada PRU tahun 2013 kerana sokongan pengundi untuk PAS.

“Ya, Hanipa dahulu ahli PAS tetapi kami percaya kemenangannya bukan kerana PAS. Sebaliknya, PAS memenangi kerusi itu kerana sertai Pakatan Rakyat waktu itu,” katanya.

Amanah Amanah masih belum memutuskan calon untuk kerusi itu, atau sama ada Hanipa akan kekal bertanding di situ.

PAS hampir pasti bertanding di Sepang, memaksa pertembungan 3 penjuru dengan Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Hanipa enggan mengulas mengenai peluangnya dan Amanah pada PRU14.

Ketua PAS Sepang, Mohd Haslin Hassan, yang juga wakil rakyat Tanjung Sepat, memberitahu FMT, PAS sentiasa bersedia hadapi PRU14 dan juga akan bertanding di Sepang dan 4 kerusi negeri di bawahnya, iaitu Dengkil, Tanjung Sepat, Bangi dan Sungai Pelek.

Sepang dimenangi BN pada setiap pilihan raya sejak 1959 sehinggalah gabungan pemerintah itu kalah kepada PAS pada 2013.

Sementara itu, Zulkarnain mengakui Amanah berdepan pelbagai cabaran dalam usahanya memperkukuh ikatan dengan rakyat di kawasan itu.

Salah satu cabaran ialah kekurangan dana.

“Buat masa sekarang, parti itu masih bergantung kepada dana dan sumbangan ahli, untuk menjalankan program dan aktiviti,” katanya.

Wakil rakyat Dengkil, Shahrum Mohd Sharif dari BN berkata pertarungan pelbagai penjuru yang diramal berlaku di Sepang dan 4 DUN itu akan memanfaatkan BN.

“Ia bonus buat BN, peluang lebih cerah untuk kita. Bagaimanapun, saya sudah mengingatkan jentera parti di Sepang, kita harus menumpukan kekuataan kita, bukan kelemahan lain,” kata timbalan ketua Umno Sepang itu.

Beliau berkata walaupun Hanipa aktif dalam Dewan Rakyat, beliau sepatutnya perlu lebih kelihatan di Sepang.

Shahrum berkata beliau belum menerima sebarang arahan daripada pimpinan parti untuk bertanding di Dengkil.

“Tidak kira siapa parti pilih untuk bertanding di Sepang dan kerusi DUN di situ, kita akan bantu mereka capai kemenangan untuk BN.”

Pada PRU lepas, Shahrum menang di Dengkil dalam pertarungan 3 penjuru dengan PKR dan KITA.