Nur Jazlan: Tiada tempat untuk politik perkauman di Johor

jazlan
Nur Jazlan (berbaju batik) berkata, politik perkauman, berlandaskan sengketa dan memecahbelahkan perpaduan tiada tempat di Johor.

JOHOR BAHRU: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengigatkan orang Johor, khasnya Pulai untuk menolak politik perkauman yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat berbilang kaum.

“Politik yang memecahbelahkan perpaduan, yang berbaur perkauman dan berlandaskan sengketa, berani saya katakan tiada tempat di Pulai, apatah lagi di negeri Johor itu sendiri,” katanya berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2018 Parlimen Pulai, di sini, hari ini yang turut dihadiri Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, pertumbuhan ekonomi yang pesat di Johor juga adalah hasil keharmonian kaum di negeri itu.

“Mungkin ramai tidak sedar akan sejarah lampau, tetapi sebenarnya sifat keharmonian ini memang sinonim dengan konsep Bangsa Johor.

“Hasil kesinambungan pelbagai kaum yang menyumbang kepada kepelbagaian kemahiran, aktiviti ekonomi dan pertumbuhan perdagangan, ekonomi Johor terus berkembang pesat hingga ke hari ini.

“Inilah sebenarnya erti Bangsa Johor yang seringkali ramai terlepas pandang.

“Bangsa Johor yang lahir dari hasrat tuanku yang ingin melihat sebuah masyarakat bersepadu, progresif dan berlandaskan kemajuan, dijauhkan daripada perilaku taksub lagi ekstremis serta tidak terperangkap dengan pemikiran sempit dan jumud.”