PRU14: Gerakan yakin tiada tsunami politik di Johor

Tee-Kok-CheeKULAI: Gerakan Johor yakin pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang tidak akan membawa fenomena tsunami politik kepada parti itu, mahupun parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain di negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Tee Kok Chee berkata keyakinan itu bersandarkan petunjuk memberangsangkan daripada pengundi Cina dan India di Johor.

Katanya, pengundi daripada kedua-dua masyarakat itu sedar mereka ditipu pembangkang yang gagal membawa sebarang kemajuan sejak memenangi kerusi mereka pada PRU13.

Berikutan kekecewaan itu, katanya, beliau yakin pengundi pembangkang akan kembali menaruh kepercayaan kepada calon BN untuk menjadi wakil rakyat di kawasan mereka.

“Jadi, kita yakin kali ini boleh menang lebih…yang penting kerjasama kukuh dalam kalangan parti komponen BN bagi menangani strategi pembangkang,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Gerakan Johor sempena Tahun Baharu Cina, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Tee berkata, Gerakan Johor memilih Datuk Liang Teck Meng untuk mempertahankan kerusi Parlimen Simpang Renggam pada PRU14.

Katanya, parti itu turut mengenal pasti 3 muka baharu untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Skudai dan Pemanis.

Menurutnya, senarai nama calon itu sudah dihantar kepada kepimpinan tertinggi BN pusat untuk diputuskan.

Pada PRU13 lalu, Gerakan bertanding 12 kerusi Parlimen dan 33 DUN di seluruh negara, tetapi hanya memenangi 1 kerusi Parlimen, iaitu Simpang Renggam dan 3 kerusi DUN, iaitu Pemanis (Johor) serta Elopura dan Tanjong Papat di Sabah.

Bagaimanapun, parti itu merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan menerusi Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong pada pilihan raya kecil (PRK) pada Mei 2014, susulan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng daripada DAP.

Pada PRK itu, Mah mengalahkan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti tipis 238 undi selepas beliau kalah kepada Seah dengan majoriti 7,313 undi pada PRU13.