Selepas keluar PAS, Amiruddin yakin menang sebagai calon PPBM di Anak Bukit

Amiruddin-Hamzah1
Gambar Facebook

ALOR STAR: November lepas, wakil rakyat Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah keluar PAS untuk sertai PPBM yang juga salah satu parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Dengan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) semakin hampir, Amiruddin yang sudah 4 penggal menjadi wakil rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu percaya beliau masih berpeluang besar mengekalkan kemenangan di Anak Bukit untuk parti baharunya.

“Apabila anda mahu bertanding, anda pasti bertanding dengan keazaman untuk menang terutamanya apabila anda wakil rakyat sekarang dan mahu mempertahankannya.

“Jika saya terpilih, saya tidak hanya akan mewakili PPBM, tetapi juga PPBM. Saya rasa kami berpeluang besar mempertahankan kerusi Anak Bukit.

“Sebagai Adun selama 4 penggal, saya bukannya mengatakan saya sangat bagus, tetapi rakyat hargai sumbangan saya dalam masyarakat. Saya percaya ia membantu untuk menang,” katanya kepada FMT semasa dihubungi.

Amiruddin percaya beliau akan mendapat sokongan mereka yang mengenalinya secara dekat dan yang mengetahui rekod prestasinya, walaupun mereka sebelum ini mengundi parti lain.

Berkenaan kemungkinan pertarungan 3 penjuru, Amiruddin berkata ini tidak banyak menjejaskan PH, memandangan rekod prestasinya baik.

Bekas pemimpin pembangkang Kedah itu juga menegaskan, untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN), pilihan pengundi hanyalah PH.

“Gagasan Sejahtera tidak akan lakukan tugas itu. Kenapa? Kerana mereka mahu bertanding pada PRU14 bukan untuk membentuk kerajaan mereka, tetapi hanya untuk menang di beberapa kerusi dan berharap menjadi dalang politik.

“Rakyat harus tahu Gagasan tidak akan berbaik dengan PH disebabkan DAP dan Amanah, jadi pilihan mereka hanyalah untuk bekerjasama dengan BN,” katanya.

Gagasan Sejahtera adalah gabungan diketuai PAS dan juga terdiri daripada Parti Cinta Malaysia dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia.

‘Majoriti tidak puas hati’

Amiruddin berkata sekurang-kurangnya 60% pengundi bukan ahli mana-mana parti politik, jadi mereka hanya akan mengundi parti yang mendokong aspirasi mereka dan untuk mengundi seseorang dengan rekod prestasi yang terbukti.

Beliau mendakwa majoriti rakyat tidak berpuas hati dengan BN, jadi pilihan lain mereka hanyalah PH atau Gagasan Sejahtera, gabungan PAS dengan parti kecil lain.

“Bagaimanapun, mengundi Gagasan Sejahtera tidak menjamin BN akan tiada, kerana akhirnya masih parti yang mesra BN. Untuk mengalahkan BN, satu-satunya pilihan adalah PH. Undilah seseorang yang anda kenali.

“Sebagai wakil rakyat sekarang, ia mungkin berkesan seperti diharapkan atau menjadi sebaliknya. Jika rekod prestasi tidak baik, ia akan menjadi sebaliknya. Jika rekod prestasi baik, ia akan berkesan,” katanya.

Sebelum menyertai PPBM, Amiruddin dijangka sertai Amanah, yang juga sebahagian daripada PH seperti PPBM.

Amanah dibentuk pemimpin dan ahli PAS yang keluar parti semasa bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu mengetuai “kumpulan progresif” yang kalah dalam pemilihan parti pada Jun 2015.

Kini PH mempunyai 9 Adun di Kedah, PAS mempunyai 7 dan BN mempunyai 20.

Amiruddin mengejutkan pimpinan PAS di Kedah pada Mei 2016 apabila tiba-tiba meletakkan jawatan sebagai ketua PAS Kuala Kedah. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sebarang sebab atas keputusannya.

Dalam PRU lepas pada Mei 2013, Amiruddin berjaya mempertahankan DUN Anak Bukit bawah tiket PAS dengan mengalahkan wakil Umno, Datuk Hashim Jahaya, dengan majoriti 2,806 undian.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/ge14/2018/02/11/penganalisis-berbeza-pendapat-peluang-ph-di-kedah/