Ahmad Maslan dan GST jadi modal kempen PPBM di Pontian

ahamd-maslan-fb
Ahmad Maslan menunjukkan bakat memasak beliau di media sosial, ketika hangat kritikan terhadap beliau kerana mempertahankan GST. (Gambar Facebook)

JOHOR BAHRU: Tidak lama dulu, nama Datuk Ahmad Maslan menjadi sebutan ramai, terutama di media sosial.

Ia selepas Ahmad, pada 2015, mengalu-alukan dan memuji dasar kerajaan mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), ketika ramai yang membantah dan mengadu mengenai kenaikan harga barang.

Malah, Ahmad juga pernah mendakwa cukai itu bakal menurunkan harga barang. Beliau kemudian menjadi sasaran pelbagai pihak, daripada pembangkang kepada orang ramai yang menyindirnya dengan pelbagai parodi.

Sejak itu, Ahmad jarang timbul di media, walaupun sesekali beliau memuat naik gambarnya sedang memasak, seperti juga “nasi goreng campur resepi tiada GST” oleh beliau yang tular 2 bulan selepas cukai itu berkuatkuasa.

Walaupun sudah 3 tahun berlalu, bantahan terhadap Ahmad dan imejnya yang negatif lantaran pujian terhadap GST, kini menjadi asas untuk pembangkang merampas kerusi Pontian yang diwakili Ahmad sejak 10 tahun.

Pakatan Harapan (PH) sudah pun tekad membawa isu GST dan kenaikan harga barang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, iaitu PRU yang pertama sejak cukai itu diperkenalkan pada 1 April 2015. Sudah tentu, peribadi Ahmad menjadi fokus pada kempen di Pontian kali ini.

Ahmad, lulusan ekonomi dari sebuah universiti di New Zealand, menang di Pontian pada 2008, menewaskan calon PKR, Mohd Annuar Mohd Salleh dengan majoriti melebihi 14,000. Majoriti itu hampir sama pada PRU lalu.

Kali ini, giliran PPBM cuba merampas Pontian.

Bagi Pengerusi PPBM Pontian, Zulkifly Tasrep, peluang parti itu “50-50”, dan yakin boleh menang sambil mendakwa sokongan pengundi Melayu terhadap Umno sudah berubah.

“Daripada gerak kerja di kampung-kampung, ada satu perubahan orang kampung dengan tekanan barang-barang yang melonjak naik,” katanya.

Zulkifly berkata orang Pontian juga marah dan jemu dengan sikap Ahmad yang didakwa “cakap tidak serupa bikin”.

Malah, dakwa beliau, ada penduduk asal yang kini tinggal di luar tidak mahu mengaku berasal dari Pontian.

“Bila tanya akan sebut tempat lain. Sebab dengan karenah Ahmad Maslan dan kenyataan yang tak masuk akal,” katanya.

Beberapa percubaan FMT untuk mendapatkan komen Ahmad gagal.

Zulkifly berkata penerimaan orang kampung di Pontian semakin positif terhadap PPBM.

Ini termasuk kubu kuat Ahmad di Kampung Parit Puteri Menangis dan Kampung Parit Marjunit, katanya.

“Jika dulu parti pembangkang tidak boleh lawan Ahmad di kawasan itu. Memang kalau bertanding tak akan menang. Tetapi sekarang apabila PPBM masuk, ada maklum balas positif dan tidak kena halau dengan orang kampung,” katanya.