Apakah sokongan kepada Pairin akan terus merosot?

Joseph-Pairin
Pairin bersama pemimpin PBS lain dalam lawatan sambutan Tahun Baru Cina di Tambunan.

KOTA KINABALU: Persaingan di kerusi Keningau dan Tambunan bakal mendapat perhatian pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana sokongan kepada penyandang kedua-dua kerusi itu, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga timbalan ketua menteri Sabah, semakin merosot sejak beberapa tahun ini.

Pairin merupakan ahli Parlimen Keningau sejak 1986 dan adun Tambunan selama 10 penggal.

Tambunan yang pertama kali dimenanginya pada 1976 adalah satu daripada 3 kerusi DUN dalam Parlimen Keningau, sementara 2 kerusi lain ialah Bingkor dan Liawan.

Setakat ini, Pairin tidak menyatakan sama ada beliau akan bertanding pada PRU14.

Ada pihak berpendapat Pairin terlalu lama mewakili kawasan tersebut. Mereka memetik kajian baru-baru ini yang menunjukkan pengundi muda kurang senang dengan dakwaan kegagalannya mengatasi masalah seperti kesesakan lalu lintas di pusat bandar, kerosakan jalan akibat lori balak lebih muatan, ketidakstabilan bekalan air domestik, masalah saliran dan kadar jenayah tinggi yang dikaitkan dengan penjenayah warga asing.

Joseph-Pairin1
Pairin melawat pasar Keningau tahun lepas.

Sesetengah pihak turut mendakwa beliau kurang membantu penduduk pribumi dengan masalah kewarganegaraan dan kegagalannya menghalang penutupan Institut Pendidikan Guru Keningau.

Bagaimanapun, pegawai perhubungan Parlimen Keningau, Augustine Nain memberitahu FMT pendapat yang mengatakan bekas ketua menteri itu hilang popularitinya tidak benar.

“Pairin masih menjadi tokoh yang popular di Keningau dan juga Tambunan.

“Ke mana-mana pun beliau pergi dan majlis yang dihadirinya, rakyat akan mengerumuni beliau kerana mereka menganggapnya pemimpin mereka.”

Joseph-Pairin2
PBS pimpinan Pairin menyambut ulang tahun ke-33 tahun ini.

Pairin adalah Huguan Siou (pemimpun agung) masyarakat Kadazandusun dan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS).

Keningau mempunyai kira-kira 200,000 penduduk, tetapi angka itu termasuk pendatang asing yang semakin meningkat. Hanya ada 48,060 pengundi berdaftar. Majoriti daripadanya, 72% ialah Bumiputera bukan Islam, manakala Bumiputera Islam terdiri daripada 18% dan bakinya kaum Cina.

Keningau terkenal dengan pertanian, khasnya penanaman padi. Tanaman lain yang diperkenalkan beberapa tahun ini termasuk kelapa sawit.

Nain mendakwa Pairin bertanggungjawab untuk pembangunan pesat di kawasan itu, di mana kerajaan menyelesaikan beberapa projek besar seperti pelebaran jalan utama dan pembukaan sebatang jalan baharu menghubungkan Kimanis dan Keningau.

“Selain itu, kami kini mempunyai Pusat Kraftangan Keningau untuk membantu meningkatkan pelancongan dan pada masa sama menyediakan cara untuk orang tempatan memasarkan produk mereka.

“Keningau juga kini mempunyai sebuah hospital serba lengkap. Pesakit tidak lagi perlu dihantar ke Kota Kinabalu untuk rawatan. Terdapat juga beberapa sekolah baharu, termasuk sekolah vokasional dan teknik, serta sebuah bangunan pusat sehenti perkhidmatan UTC yang mula beroperasi pada 2016.”

Joseph-Pairin3
Pairin berucap pada mesyuarat perwakilan PBS tahun lepas.

Seorang penyokong PBS di Keningau, Jinsi Kimlin, mengakui Pairin kurang mendapat sokongan orang muda. Beliau mendakwa mereka gagal menghargai sumbangan Pairin kepada Sabah selama ini.

“Beliau adalah Huguan Siou, tetapi orang muda tidak memahami konsep ini. Mereka tidak tahu perjuangan dilaluinya dulu dan makna perjuangan itu.

“Saya percaya Pairin akan menang, tetapi saya sedih apabila cucu sendiri bercakap perkara tidak baik tentang beliau.”

Joseph-Pairin4
Pairin menyambut Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, dalam satu acara di mana pemimpin Kadazandusun berjanji bekerjasama bagi memastikan kemenangan BN.

Satu masalah yang perlu dihadapi Pairin ialah sikap curiga orang muda terhadap Barisan Nasional (BN). Ramai mendakwanya membelakangkan perjuangan asal PBS untuk mendapatkan hak Sabah.

Bagaimanapun, pandangan umum ialah PBS akan mengekalkan kerusi Keningau dan Tambunan.

Ada yang berkata, BN mungkin boleh merampas semula Bingkor yang kini dikuasai Parti Reformasi Sabah (Star), sekiranya kerusi itu ditandingi calon PBS, bukannya Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko).

Di Liawan pula, Datuk Sairin Karno daripada Umno dijangka berdepan saingan sengit daripada Star dan parti pembangkang tempatan lain, termasuk Parti Warisan Sabah.