PAS letak 70% golongan profesional, 30% calon ulama di Selangor

himpunan-pas

KUALA LUMPUR: PAS Selangor menyangkal dakwaan Amanah berjaya membawa hampir semua golongan profesional keluar daripada parti Islam itu dan berkata, mereka akan menurunkan 70% calon profesional pada pilihan raya umum ke-14.

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata baki 30% calon parti itu yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor terdiri daripada golongan ulama.

“Kita sudah umumkan kita akan bertanding sekurang-kurangnya 43 kerusi DUN di Selangor. Daripada itu, 30% adalah golongan ulama dan 70% adalah golongan profesional,” katanya ketika ditemui di Bangsar, hari ini.

Pada PRU 2013, PAS bertanding di 21 DUN Selangor dan memenangi 15 kerusi negeri itu.

Walaupun PKR hanya memenangi 14 kerusi, PAS dan rakan sekutu Pakatan Rakyat lain bersetuju membenarkan parti itu menerajui kerajaan Selangor ketika itu.

Roslan berkata, PAS akan memperkenalkan 3 calon bukan Islam daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) bertanding di peringkat DUN.

“Untuk pertama kalinya di Selangor juga kita akan meletakkan calon daripada DHPP, bahkan kita akan meletakkan 7 calon (wanita) daripada Dewan Muslimat PAS.”