Peluang di Parit Sulong 50-50, kata Amanah

Khairuddin-Abd-Rahim-amanah-1
Ketua Amanah Parit Sulong Khairuddin Abd Rahim (kanan) percaya PAS tidak kuat di kawasan ini kerana pertandingan utama ialah antara PH dan BN. (Gambar Facebook).

JOHOR BAHRU: Parit Sulong adalah sebuah pekan di daerah Batu Pahat, Johor dan merupakan lokasi pertempuran sengit antara tentera Jepun dengan tentera Bersekutu yang diwakili oleh Australia dan India ketika Perang Dunia Ke-2 .

Sebuah jambatan yang dibina pada zaman itu adalah mercu tanda menarik pekan ini.

Ia merupakan antara kubu terkuat Umno di Johor, tetapi Amanah yang bakal membawa cabaran PH di situ mengambil inspirasi kepahlawanan anggota kedua-dua pihak yang terlibat dalam konflik itu sebagai bekal dalam menghadapi BN.

Ketua Amanah Parit Sulong, Khairuddin Abdul Rahim berkata, partinya bertekad memberi tentangan hebat, sekali gus percaya ia mempunyai peluang yang setara untuk memenangi pertandingan yang bakal berlaku.

Bekas timbalan menteri sumber manusia, Noraini Ahmad, adalah ahli parlimen dua penggal di sini. Beliau juga merupakan pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Beliau mula mewakili kawasan ini pada pilihan raya 2008 menggantikan Syed Hood Syed Edros. Terdapat 2 kerusi negeri di bawah parlimen Parit Sulong, iaitu Semerah dan Sri Medan.

Pada PRU13, Mohd Ismail Roslan (BN) menewaskan calon PKR, Md Ysahrudin Bin Kusni, dengan majoriti 2,649 undi di kerusi Semerah.

Manakala bagi kerusi Sri Medan, Zulkurnain Kamisan (BN) menewaskan calon PAS, Ahmad Rosdi Bahari dengan majoriti 9,430 undi.

Walaupun menyedari majoriti yang dimenangi BN semakin merosot di Parit Sulong sejak 2004 lagi, Amanah mengakui ia berdepan cabaran sengit dan akan menggunakan semua kekuatan yang dimiliki bagi membawa cabaran PH di situ.

Parit Sulong merupakan antara 2 kerusi yang akan ditandingi Amanah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), selain kerusi parlimen Pulai.

Beliau berkata, berdasarkan program yang dijalankan, terutama di DUN Sri Medan dan Semerah, sokongan pengundi Melayu terhadap Amanah semakin baik.

“Ini berdasarkan kepada momentum sekarang, ceramah kita bulan lepas di Sri Medan buat, lebih 2000 hingga 3000 orang datang ke program kami.

“Kita lihat anjakan sokongan Melayu lebih besar berbanding zaman reformasi 1998 dulu. Tidak mustahil kita dapat lakukan perubahan,” katanya kepada FMT.

Khairuddin merupakan calon PAS bagi Parit Sulong dalam PRU13 dan berjaya mengurangkan majoriti Noraini dari 13,599 undi dalam PRU12 ke 11,753 undi pada 2013.

Beliau berkata, persaingan sekarang adalah antara PH dan BN, sementara PAS bukanlah pencabar kuat.

Berdasarkan angka 2013, terdapat 56,896 di Parit Sulong dengan pecahan 72% pengundi Melayu, Cina 23% dan India 5%.