Pembangunan tarik perantau pulang ke Libaran

sabah_Juslie Ajirol
Juslie Ajirol (tengah, berbaju putih) bergambar dengan penyokongnya.

KOTA KINABALU: Pada satu tahap, kerusi Parlimen Libaran menyaksikan ramai penduduk berhijrah untuk mencari peluang di kawasna lebih maju.

Kebanyakan penduduk, khasnya dari kawasan pedalaman, meninggalkan Libaran untuk hidup di pekan dan bandar lebih besar, walaupun sesetengahnya terpaksa menetap di kawasan setinggan.

Bagaimanapun, pembangunan konsisten di kawasan Parlimen itu, satu daripada 3 kerusi di daerah Sandakan yang besar, kini menyaksikan ramai penduduk pulang.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol berkata banyak kuarters kakitangan dibina untuk penjawat awam, kediaman sama juga disediakan perniagaan swasta, dan pembangunan prasarana di kawasan itu.

“Juga terdapat peruntukan infrastruktur seperti jalan raya, sekolah dan kemudahan awam. Penduduk pulang dan mewujudkan perkampungan baharu,” kata ahli Parlimen 4 penggal itu kepada FMT.

“Pada pilihan raya umum lepas, ada hampir 40,000 pengundi, tetapi kini bertambah kepada 53,000 pengundi berdaftar.”

Juslie berkata, kerajaan juga menyediakan tanah untuk penduduk memulakan penempatan.

“Kami ada pekan Muhibbah yang pesat membangun, dan berharap tidak lama lagi ada sebuah pekan baharu di Sungai Tiram. Ini bakal menjadi bandar perantara untuk sekurang-kurangnya 10 perkampungan.”

Libaran turut menjadi hab pendidikan Sandakan yang bermakna ibu bapa tidak perlu menghantar anak mereka ke tempat jauh untuk melanjutkan pelajaran.

Hab pendidikan itu menempatkan Universiti Malaysia Sabah, Politeknik Sandakan dan Maktab Rendah Sains Mara.

Juslie berkata, beberapa inisiatif juga sedang dilakukan melibatkan nelayan serta petani dalam industri kecil dan sederhana.

sabah2_Musa Aman_bn
Musa Aman (tengah, bertopi biru), Juslie Ajirol (bertopi hitam) dan Adun Gum-Gum, Zakaria Edris (bertopi putih) bersama penyokong BN di pusat jentera daerah mengundi Kg Nunuyan Laut.

Libaran adalah kawasan Parlimen terbesar dalam daerah Sandakan yang turut merangkumi kerusi Parlimen Sandakan dan Batu Sapi.

Ia adalah kawasan campuran pinggir bandar dan luar bandar, yang kebanyakannya tertumpu di sepanjang sungai dan pesisir pantai, dengan rangkaian pulau yang sesetengahnya berpenduduk.

Pemuliharaan hidupan liar adalah tulang belakang di Libaran, dengan Pusat Pemuliharaan Orang Utan di Sepilok, Taman Pulau Penyu berkeluasan 1,740 hektar dan Pusat Perlindungan Monyet Proboscis di Teluk Labuk.

Dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Libaran adalah Sungai Sibuga dan Gum-Gum.

Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menyandang kerusi DUN Sungai Sibuga sejak 1995, manakala Datuk Zakaria Edris daripada Umno mewakili Gum-Gum sejak 2004.

Libaran sememangnya kubu kuat Barisan Nasional (BN), dengan undi diraih Musa dan Juslie semakin meningkat pada setiap PRU sejak 2004.

Zakaria yang juga pembantu menteri kerajaan tempatan dan perumahan Sabah, memenangi kerusi Gum-Gum tanpa bertanding pada 2008.

Juslie yakin BN mampu menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), tetapi beliau tidak memandang rendah pencabar berpotensi.

“Akan ada cabaran daripada pembangkang, tetapi antara saya dan ketua menteri, undi kami semakin meningkat,” katanya.

Walaupun Juslie selama ini berdepan cabaran daripada PKR, beliau juga menjangkakan kemunculan parti lain seperti Parti Warisan Sabah (Warisan) yang cuba menembusi kubu BN.

Pada PRU 2013, Juslie meraih 19,584 undi mengalahkan calon PKR, Mohd Serman Hassnar dengan kelebihan 11,586 undi. Calon bebas, Sahar Saka mendapat 3,219 undi, manakala wakil Parti Reformasi Negeri (STAR), Rosnah Unsari meraih 502 undian.

Pada 2008, Juslie mengalahkan calon PKR, Ahmad Thamrin Jaini dalam pertarungan satu lawan satu dengan majoriti 7,529 undi.

Kira-kira 57% pengundi berdaftar di Libaran terdiri daripada Bumiputera Islam, pengundi Cina 21% dan Bumiputera bukan Islam 15%.