MCA menang di Ayer Hitam sejak 2004 bukan hanya kerana logo BN

Wee Ka Siong berkata, berkhidmat kepada rakyat lebih realistik daripada bercakap mengenai sokongan pengundi.

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, beliau bukan bergantung kepada logo Barisan Nasional (BN) semata-mata untuk memenangi kerusi Parlimen Ayer Hitam sejak 2004, sebaliknya ia hasil kerjasama antara parti komponen BN dan usaha wakil rakyat parti itu di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau yang mengesahkan BN sudah memilihnya untuk mempertahankan Ayer Hitam pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), berkata bukan semua calon yang bertanding atas tiket BN akan menang atau mendapat kelebihan.

“Andaian (itu) tidak betul…Saya tak berani kata letak sesiapa atas lambang parti (BN), ianya sudah automatik dapat undi mereka,” katanya kepada FMT di ibu pejabat MCA, baru-baru ini.

Sebaliknya, Wee berkata, semua parti komponen memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan BN.

“Hubungan akrab antara Umno dan MCA, MIC, MyPPP dan Gerakan ini dianggap faktor…pasukan BN dapat bergerak sebagai satu jentera mantap.

“Dalam soal ini, kita tidak boleh anggap sesiapa sahaja bertanding atas tiket BN boleh menang. Saya yakin orang Ayer Hitam ini mempunyai budi bicara mereka, ada cara untuk lihat pemimpin.

“Yang pasti, adanya parti dan jentera gerak proaktif masalah masyarakat dapat diselesaikan secara berkumpulan dan berpasukan dan inilah yang boleh dikatakan satu keunikan di Ayer Hitam.”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, berkhidmat kepada rakyat lebih realistik daripada bercakap mengenai sokongan pengundi.

“Saya rasa kita tidak boleh terlalu angkuh PRU ini, kita bercakap soal menang besar. Saya cuma realistik dan pragmatik. Kita kena jalankan khidmat kepada rakyat dan rakyat akan hargai. Tidak perlu cakap pasal sokongan,” katanya.

Pada 18 Mac lalu, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong akan bertanding di Parlimen Ayer Hitam pada PRU14.

Keesokannya, PAS pula mengumumkan akan meletakkan calon mereka di kerusi Parlimen itu bagi menentang MCA dan DAP.

Wee berjaya menewaskan calon PAS dalam pertandingan satu lawan satu sejak 2004, tetapi majoriti dimenanginya semakin merosot setiap PRU.

Pada 2004, Wee menang dengan kelebihan 15,763 undi, namun majoriti itu berkurangan kepada 13,909 undi pada 2008 dan 7,310 undi pada 2013.

Tidak pandang ringan lawan

Wee mengakui pertandingan 3 penjuru yang pertama kali dihadapinya kali ini bukan laluan mudah baginya.

“Tidak kira siapa, pilihan raya umum ke-14 merupakan satu ujian genting dan kita mesti kerja kuat bersama semua parti komponen supaya dapat capai kemenangan di Ayer Hitam.”

Katanya, beliau juga tidak pernah memandang ringan kemampuan calon dari parti lain yang bakal bertembung dengannya.

“Saya tidak memandang remeh atau anggap mereke remeh kerana semua parti bertanding mereka telah siap sedia dan sudah tentu mampu mempunyai percaturan mereka.

“Tidak boleh terlalu yakin dalam soal ini, kena lakukan terbaik, yang penting kerja supaya memastikan jentera kita mantap dan lakukan terbaik untuk pastikan capai objektif kita.”

Ayer Hitam bukan kerusi tradisi MCA

Wee menolak andaian MCA mempunyai kerusi tradisi di Johor, termasuk Ayer Hitam yang diwujudkan semula selepas persempadanan semula pada 2004.

“Misalnya kerusi MCA di Ayer Hitam adalah kerusi Parlimen baharu selepas persempadanan semula pada 2004. Apabila MCA diperuntukkan kerusi Parlimen, maka percaturan dibuat setiap kali ada persempadanan semula.

“Kalau faham macam kita nak kerusi ini memang berlandaskan selepas semangat musyawarah bincang ada keputusan dan dituruti semua parti dalam BN.”

Ayer Hitam ialah kubu kuat BN sejak ia diwujudkan pada PRU 1974 sehingga dimansuhkan pada 1986 dan diwujudkan semula pada 2004.

Pengundi di Ayer Hitam terdiri daripada 57.57% orang Melayu, 38.43% Cina dan India 4%.

Beliau berkata, Ayer Hitam ialah kerusi Parlimen unik yang terdiri daripada pelbagai komposisi kaum dengan majoriti penduduknya ialah orang Jawa dan sesebuah parti itu tidak boleh bergantung kepada satu kaum sahaja untuk menang.

“Satu gabungan komposisi kaum yang sangat unik, perlu sokongan semua pihak, tanpa sokongan daripada satu pihak, satu kaum, kita tidak mungkin dapat kejayaan.

“Memang betul mereka satu masyarakat yang sangat bersatu padu, mereka juga pentingkan tradisi mereka…mereka lebih tahu apa kehendak mereka.

“Mereka ada tuntutan, mereka juga tahu cara untuk dapat terbaik untuk kampung mereka atau pembangunan di setempat.”

Katanya, MCA kekal bertanding 8 kerusi Parlimen dan 15 Dewan Undangan Negeri di Johor pada PRU14.