Baling: Ekonomi atau peristiwa Memali dalam ingatan pengundi?

BALING: Baling di Kedah adalah contoh tepat sebuah penempatan Melayu luar bandar.

Di sinilah berlakunya tragedi berdarah Memali pada 1985, insiden yang sekali lagi dibangkitkan baru-baru ini.

Pengkritik bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dipersalahkan atas peristiwa itu. Beliau didakwa bertanggungjawab mengarahkan polis menyerbu kampung itu pada November 1985 bagi menangkap Ibrahim Mahmud, guru agama yang lantang.

Tragedi itu berakhir dengan kematian 14 penduduk kampung dan 4 anggota polis.

Tiga dekad kemudian, insiden Memali kembali dibangkitkan Umno dan PAS, pengkritik Dr Mahathir.

Tetapi, bagi ketua PPBM di sini, peristiwa Memali bukan lagi isu, terutamanya dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Saya berani kata kejadian itu tidak akan memberi kesan ke atas pengundi di Baling,” kata Ketua PPBM Bahagian Baling, Datuk Sopian Ahmad.

Sopian berkata, Dr Mahathir lebih dikenang atas sumbangannya kepada negara dan Kedah sepanjang 22 tahun pemerintahannya.

Ini katanya, termasuklah pembinaan Taman Teknologi Tinggi Kulim dan pembangunan Langkawi yang menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Baling.

Sopian berkata, isu ekonomi lebih penting bagi penduduk.

Beliau bagaimanapun mengakui sukar untuk merampas kerusi Parlimen Baling daripada penyandangnya daripada Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sebuah papan iklan di Pulai, Baling, yang mempromosikan Ahli Parlimen, Abdul Azeez Abdul Rahim dan sumbangannya kepada pengundi.

Pada PRU 2013, Azeez mengalahkan calon PAS, Datuk Najmi Ahmad dengan majoriti 5,185 undi.

Sementara itu, Umno yakin keputusan lebih baik pada PRU14, termasuk memenangi semua 3 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu, Kupang dan Kuala Ketil.

Kerusi DUN Bayu dan Kupang kini diwakili Umno menerusi Datuk Azmi Che Hussein dan Datuk Harun Abdul Aziz, sementara kerusi Kuala Ketil disandang wakil PAS, Md Zuki Yusof.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Baling, Mohd Noor Mohd Amin tidak melihat PAS sebagai pencabar, khasnya apabila ramai ahli parti itu menyertai parti serpihannya, Amanah yang ditubuhkan pada 2015.

Namun katanya, itu tidak bermakna Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang di situ.

“Saya kasihan calon PH akan hilang deposit mereka,” katanya.

Noor berkata, PH mungkin popular di kawasan bandar, tetapi bukan Baling.

Katanya, antara khidmat “sosial dan kebajikan” Umno kepada penduduk setempat termasuklah bantuan kewangan, barangan lain serta khidmat ambulans untuk golongan miskin.

“Ahli Parlimen Baling juga menyediakan 3 bas di ketiga-tiga DUN untuk mengangkut pelajar dari kampung terpencil ke sekolah masing-masing, dari Ahad hingga Khamis,” katanya.

Beliau berkata, pelajar di pusat pengajian tinggi turut menerima bantuan kewangan RM1,000 hingga RM1,500 dan kira-kira 7,000 unit komputer riba turut diagihkan setaka ini.