Kamarul kritik mufti Perlis masuk campur politik PRU

Kamarul Zaman Yusoff berkata Asri Zainul Abidin perlu memberikan contoh baik seperti juga larangan masjid daripada berpolitik.

PETALING JAYA: Penganalisis politik Kamarul Zaman Yusoff menyifatkan Mufti Perlis Datuk Asri Zainul Abidin sebagai melampaui tugasnya apabila menggesa pengundi menolak calon Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) pada pilihan raya umum akan datang.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia itu berkata komen dimuat naik Asri pada Jumaat lalu adalah “di luar” bidang tugasnya sebagai mufti, dan beliau tidak seharusnya berkempen untuk atau menentang mana-mana parti politik.

“Tidak wajar dan tidak bijak bagi Asri untuk mengatakannya,” kata Kamarul.

Asri dalam kiriman Facebook menggesa pengundi menolak calon Hindraf pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), berikutan parti itu bersetuju untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Mana-mana parti yang menjadikan mereka calon, saya merasa pihak itu akan mengancam kedamaian yang sekian lama wujud dalam negara ini,” kata Asri yang sebelum ini bertelagah dengan Hindraf berikutan bantahan pertubuhan hak asasi komuniti India itu terhadap pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik.

Hindraf sebelum ini meminta untuk bertanding 2 kerusi Parlimen dan 4 kerusi negeri atas tiket PKR atau DAP.

Kamarul berkata Asri tidak seharusnya mengulas mengenai politik, terutama kerana Jabatan Agama Islam Perlis menghalang masjid digunakan untuk tujuan politik atau berkempen pada PRU akan datang.

“Sebagai mufti, dia sepatutnya menjadi contoh yang baik.”

Bagaimanapun, Kamarul berkata komen Asri tidak akan memberi kesan yang besar kepada pengundi Melayu.

Sementara itu, bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim yang kini sebahagian daripada DAP berkata Hindraf bukan ancaman kepada keselamatan negara atau Islam.

“Saya rasa Asri dipengaruhi perasaan peribadi. Perasaan marahnya mengaburi pertimbangannya.”

Menurutnya, Hindraf sudah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tidak tahu kenapa, tapi mungkin Asri tidak mahu Dr Mahathir menang. Dengan meminta pengundi menolak Hindraf, secara tidak langsung beliau meminta mereka menolak Dr Mahathir.”

Pemimpin DAP, P Ramasamy pula menganggap Asri tidak mempunyai hak untuk mengajak pengundi menolak calon Hindraf pada PRU akan datang.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/04/14/mufti-perlis-minta-pengundi-tolak-calon-hindraf/