Langkawi jadi kayu ukur Melayu sokong siapa

Orang ramai yang hadir pada ceramah Ahad lalu di Langkawi, untuk mengumumkan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Pakatan Harapan. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Penganalisis politik berbeza pendapat mengenai peluang Tun Dr Mahathir Mohamad menang Langkawi, tetapi mereka sebulat suara tentang satu perkara: sukar meramal keputusannya.

Ia di sebalik pengaruh Dr Mahathir di pulau percutian itu, yang mengalami perubahan besar di bawah pemerhatiannya sebagai perdana menteri dan selepas meninggalkan kerajaan pada 2003.

Pusat kajian Merdeka Center berkata Dr Mahathir berdepan tugas yang sukar, memandangkan Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi itu dengan majoriti besar pada 2013.

“Dr Mahathir mungkin mendapat sokongan dalam kalangan pengundi di sana tetapi terdapat halangan yang agak besar terpaksa dihadapinya bagi mencapai kemenangan,” kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian kepada FMT.

Walaupun Langkawi adalah pulau peranginan yang pesat membangun, di samping statusnya sebagai destinasi pelancongan antarabangsa, tetapi politiknya sama dengan Kedah, di mana pengundi luar bandar akan menentukan siapa yang mewakili mereka di Parlimen.

“BN memenangi Kedah pada PRU13 di sebalik sokongan pengundi Melayu. Bagi pembangkang memenangi Kedah, ia perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 40% undi Melayu memandangkan jumlah pengundi Melayu yang tinggi di sana,” kata Ibrahim.

Pada PRU lalu, Datuk Nawawi Ahmad dari Umno, memenangi kerusi itu menewaskan Ahmad Abdullah dari PKR dengan majoriti selesa 11,861 undi.

Kali ini, kata Ibrahim, peluang Dr Mahathir boleh dihalang dengan kehadiran PAS sebagai pihak ketiga.

PAS bertekad untuk bertanding di hampir semua kerusi majoriti Melayu pada PRU14, memaksa pertandingan 3 penjuru yang dikatakan ramai mampu memecah undi pembangkang, dan memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusoff pula berkata dengan majoriti besar yang dimenangi BN, ia tidak memberi jaminan kemenangan kepada Dr Mahathir.

Beliau berkata perkara ini menjadi trend dalam 5 PRU yang lalu.

Kamarul sebelum ini memberitahu FMT bahawa Langkawi adalah pertaruhan terbaik Dr Mahathir, berbanding bekas kerusinya di Kubang Pasu, atau di Putrajaya, bandar pentadbiran yang menjulang namanya.

Kamarul merujuk pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH) yang memilih Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri gabungan itu, berkata selain faktor PAS, mungkin berlakunya sabotaj dalaman.

“Ada kemungkinan parti komponen lain dalam PH boleh mensabotaj Dr Mahathir untuk memastikan dia tidak akan memenangi kerusi tersebut, dengan itu membolehkan pemimpin lain menjadi perdana menteri jika PH mula berkuasa.”

Wong Chin Huat dari Penang Institute berkata berdasarkan majoriti besar yang dimenangi BN di Langkawi, ia boleh menjadi petunjuk terbaik “tsunami Melayu” yang banyak dibincangkan pada PRU ini.

“Berapa undi untuk Umno pada 2013, akan masih bersama parti itu apabila Dr Mahathir tidak lagi bersama mereka,” soalnya.

Peluang Dr Mahathir paling cerah di Langkawi?