MyPPP kekal dalam BN walaupun tak dapat Cameron Highlands

M Kayveas bimbang calon BN akan kalah kerusi Cameron Highlands.

KUALA LUMPUR: Parti komponen Barisan Nasional (BN), Parti Progresif Penduduk (myPPP) memutuskan untuk kekal dalam gabungan pemerintah walaupun tidak diberikan kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Presiden Tan Sri M Kayveas berkata sedemikian selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi di ibu pejabat parti hari ini.

“Ahli majlis tertinggi kita sebulat suara memutuskan untuk kekal dalam BN.

“Bagaimanapun, keputusan kita akan dipertimbang semula selepas bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat selama 2 jam itu.

Keputusan itu dibuat selepas Kayveas menolak tawaran Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk bertanding di Segambut, bukan Cameron Highlands.

Bekas senator dan Ahli Parlimen Taiping berkata myPPP berpeluang lebih besar untuk menang di Cameron Highlands kerana parti itu sudah bekerja di sana bertahun lama.

“Bahaya untuk ‘gantikan’ kami dengan calon lain. Mereka boleh kehilangan kerusi itu,” katanya.

Ahli Parlimen Cameron Highlands sekarang adalah Datuk Seri G Palanivel yang kekal sebagai wakil bebas.

Semalam, pada pelancaran manifesto myPPP, Kayveas berkata Tengku Adnan menawarkan kerusi Parlimen Segambut untuk beliau bertanding pada pilihan raya umum nanti.

Beliau menolak tawaran itu dan memberitahu menteri Wilayah Persekutuan itu sendiri bertanding di Segambut.

Kayveas menganggap Tengku Adnan “kawan rapat” tetapi sudah hilang sabar.

“Jika tidak mahu kami (dalam BN), beritahu baik-baik. Jangan berikan kami kerusi untuk kalah dan berkata anda sudah memberikan kerusi tetapi kami tidak mampu menang.”

Kayveas juga mendakwa Tengku Adnan tidak adil dalam rundingan pengagihan kerusi.

“Kami sudah keluar (dari BN) pada 2008 jika Tengku Adnan tidak memujuk waktu itu. Kami kekal dalam BN kerana beliau, terima kasih.”

Apabila disoal jika myPPP akan “sabotaj” calon BN yang terpilih untuk Cameron Highlands, Kayveas berkata beliau tidak akan lakukan perkara itu.

“Kami tidak menghabiskan masa melakukan perkara tidak bermanfaat.

“Jika ada pun sabotaj, ia adalah daripada pengundi yang mempunyai harapan tinggi untuk kami bertanding di sana,” katanya.

Penyokong Kayveas berkumpul di luar ibu pejabat parti itu hari ini sambil mengangkat plakad dengan mesej sokongan.

Mereka menggesa pimpinan tertinggi BN membenarkan Kayveas bertanding di Cameron Highlands, di mana beliau aktif selama 4 tahun lepas.

Ketua Pemuda MIC Datuk Sivarraajh Chandran dikatakan akan dicalonkan di kerusi itu bagi menentang DAP dan PSM.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14