PAS: Orang Kelantan akan pulang walau terpaksa merangkak

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan yakin penetapan hari mengundi di pertengahan minggu pada pilihan raya kali ini tidak akan menghalang pengundi pulang ke Kelantan untuk memilih kerajaan mereka.

Beliau berkata orang Kelantan sudah diasuh untuk pulang melaksanakan tanggungjawab mereka dalam apa jua keadaan sekiranya mereka sayangkan negeri itu.

“Rakyat Kelantan yang duduk di luar diajar sejak bertahun-tahun, seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (bekas mursyidul Am PAS) kata: ‘Kalau ada kereta, naik kereta. Kalau tak ada kereta, naik motosikal. Kalau tak ada motosikal, naik basikal. Kalau tak ada apa-apa, merangkak balik,” katanya di Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut hari ini.

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) termasuk PAS sendiri mempertikaikan 9 Mei depan sebagai tarikh pengundian pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

SPR menetapkan 28 April (Sabtu) sebagai hari penamaan calon dan 9 Mei (Rabu) sebagai hari mengundi selepas 11 hari berkempen. Pengundian awal ditetapkan pada 5 Mei.

Takiyuddin berkata pihaknya difahamkan warga Kelantan di serata negara sudah mengatur perjalanan untuk pulang mengundi.

“Saya difahamkan tempahan bas-bas sudah dibuat. Di Sabah dah beli tiket. Jadi tidak jejaskan. Saya yakin,” katanya.

Takiyuddin tegur anak Nik Aziz

Sementara itu, Takiyuddin menasihatkan anak Nik Aziz, Nik Omar untuk berhijrah ke parti lain jika tidak lagi mempercayai parti itu.

Sebelum ini media melaporkan Nik Omar berkata PH berpeluang mengambil alih pentadbiran Kelantan, dan berkata PAS perlu menyedari kelemahan dalam pentadbiran mereka bagi mengelakkan perkara itu.

Nik Omar bagaimanapun tidak menghuraikan kelemahan yang dimaksudkan.

“Saya tidak pernah dengar Nik Omar bercakap tentang perkara yang melanggar atau bercanggah dengan perlembagaan parti tetapi semua orang yang masih menjadi ahli PAS perlu akur terhadap perlembagaan PAS.

“Salah satu tidak membuat kenyataan atau tindakan yang bercanggah kepentingan PAS itu sendiri serta boleh menjatuhkan imej, maruah dan kepercayaan kepada PAS,” katanya.