Pengundi waspada terhadap Warisan selepas Leiking tinggalkan PKR

Perpustakaan di Penampang. Penduduk di Penampang tidak dapat memutuskan mereka akan memilih siapa sebagai ahli Parlimen pada 9 Mei nanti.

KOTA KINABALU: Tindakan Darell Leiking melompat dari PKR ke Parti Warisan Sabah (Warisan) menyebabkan ramai pengundi di Penampang, kawasan majoriti Kadazan, tidak tahu siapa yang akan menjadi pilihan mereka.

Leiking percaya keputusannya meninggalkan PKR 2 tahun lalu untuk membentuk Warisan bersama bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal, yang kini presiden parti itu adalah betul. Leiking adalah timbalannya.

Ia tidak mengejutkan ramai yang mengundi Leiking pada 2013, ketika beliau bertanding atas tiket PKR, kini tawar hati memandangkan beliau menyertai parti yang diketuai pemimpin Bajau-Suluk, dan mengambil kira sentimen perkauman di kalangan pengundi.

Hanya seminggu lalu, ahli kariah sebuah gereja di Penampang, mengadu mengenai kekecewaan dan tidak dapat memutuskan siapa yang menjadi pilihan mereka.

“Kali ini, saya mahu memilih seorang calon yang tidak akan melompat. Ia amat mengecewakan untuk melihat undi saya bazir begitu sahaja,” kata Kaety Deloris yang mengundi Terence Siambun, kini bendahari agung Warisan, di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog pada 2013.

Tahun lalu, ketika meninggalkan PKR, Leiking dilaporkan berkata, beliau tidak patut dianggap “katak”, istilah untuk mereka yang melompat parti.

“Katak melompat dari sebuah parti pembangkang ke parti pemerintah atau sebaliknya, tetapi saya hanya beralih dari sebuah parti pembangkang ke parti pembangkang lain.”

Kaety mahu melihat perubahan di Sabah, tetapi menolak Barisan Nasional sebagai pilihannya. Beliau bagaimanapun tidak keberatan mengundi Gabungan Sabah atau Warisan.

“Gabungan mahu kerajaan persekutuan mematuhi Perjanjian Malaysia 1963. Tetapi, bagaimana jika kerajaan persekutuan enggan berbuat demikian?

“Adakah saya patut mempercayai Warisan? Mereka juga mendakwa mahu memperjuangkan hak Sabah dan menggulingkan BN melalui kerjasama dengan Pakatan Harapan supaya suara rakyat Sabah boleh didengari di Putrajaya…mungkin ini idea yang baik.”

Dua lagi pengundi, Cheryl dan sepupunya Eddy mengakui mereka mengundi Leiking dan Siambun pada 2013, tetapi berikrar tidak akan berbuat demikian lagi.

Sebaliknya, mereka lebih suka parti tempatan dan akan mengundi Gabungan Sabah.

“Kita perlu memilih parti yang akan membentuk kerajaan negeri tidak memihak kepada Pasukan Datuk Seri Najib Razak atau Tun Dr Mahathir Mohamad. Kita perlu memilih sebuah kerajaan Sabah yang kuat untuk mewakili kami tanpa rasa takut.

Eddy berkata, beliau juga lebih suka parti tempatan, tetapi menolak Warisan.

Dua pengundi itu yang enggan memberi nama penuh mereka mendakwa penyokong Warisan dan PH menyasarkan mereka yang tidak berkongsi pandangan politik sama.

Andrew Dominic berkata, pembangkang nampaknya tiada strategi jelas untuk memajukan rakyat.

Seorang lagi pengundi, Andrew Dominic berkata pembangkang nampaknya tiada strategi jelas untuk memajukan rakyat.

Beliau mengakui tidak menyokong kempen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan sedia ada dan tidak pasti jika ia adalah masa sesuai untuk perubahan.

“Saya harap ada pertarungan satu lawan satu di Penampang, tetapi saya tahu itu tidak akan berlaku. Saya lebih prihatin dengan apa yang akan berlaku selepas pilihan raya kerana pembangkang nampaknya tiada strategi jelas untuk membawa kita ke depan.

“Kebanyakan ahli politik, termasuk Leiking hanya memikirkan diri sendiri, seperti melompat ke parti lain. Ini membuatkan pengundi marah.”

Oliver Galasius akan memilih calon yang dapat menyelesaikan masalah banjir di Penampang.

Bagaimanapun, Oliver Galasius dan Luke Maluda percaya penduduk Penampang akan memilih calon berbanding parti politik, kali ini.

“Saya akan lihat apa kata mereka dan perancangan untuk Penampang terlebih dahulu. Apa yang saya mahu sekarang ialah seorang wakil rakyat yang boleh menyelesaikan masalah di Penampang, khasnya banjir,” kata Galasius.

Maluda berkata, rakyat Penampang mahu memilih calon, bukannya parti politik kali ini.

Luke Maluda berkata, pengundi di Penampang akan memilih calon, bukannya parti politik kali ini.

Katanya, pada 2013, pengundi yang yakin dengan mesej perubahan PKR mengundi parti itu, tetapi tidak semestinya Leiking.

“Mereka sudah membuat keputusan, tetapi saya boleh nampak ramai yang tidak puas hati dengan Leiking dan mungkin tidak akan mengundi beliau lagi.

“Mengenai kerusi Siambun, saya rasa itu boleh diangga kerusi selamat untuk Upko (Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu), dengan Setiausaha Agungnya, Datuk Donald Mojuntin bertanding di sana. Lebih mudah untuk menang, saya rasa.”

Pemimpin Warisan bagaimanapun mengunci mulut sama ada Leiking akan dicalonkan semula di Penampang.

Bapanya, Datuk Marcel, adalah bekas adun Inanam. Ada ura-ura Leiking mungkin mempertimbangkan untuk berpindah ke sana, bagi menggantikan Dr Roland Chia daripada PKR.

Siambun pula menghabiskan lebih banyak masa di kawasan Parlimen Putatan berbanding Moyog, menyebabkan timbul spekulasi beliau mungkin dicalonkan menentang penyandang 3 penggal kerusi itu, Datuk Marcus Mojigoh.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14