PRU14 ‘balik kampung’ untuk Wan Saiful

Timbalan ketua strategi PPBM Wan Saiful Wan Jan.

LANGKAWI: Perasaan bercampur antara rasa terkejut, gugup dan terima kasih bagi muka baru PPBM Wan Saiful Wan Jan ketika menerima berita beliau bakal bertanding di kerusi Parlimen Pendang dalam pilihan raya umum akan datang.

“Jujurnya, apabila diberitahu tentang pencalonan untuk kerusi Pendang, saya terkejut.

“Tetapi dari awal lagi saya beritahu mereka, jika diminta bertanding, lebih baik saya diberi peluang balik ke Kedah, membalas kebaikan yang pernah diberikan kepada saya.”

Wan Saiful, yang merupakan timbalan ketua strategi PPBM, dilahirkan dan dibesarkan di Alor Setar, kira-kira 30 minit dari Pendang. Pencalonannya disahkan Ahad lepas, apabila senarai calon PPBM bagi Kedah diumumkan di Langkawi.

Beliau mendakwa jentera kempen Pakatan Harapan cukup kuat di Tokai dan Sungai Tiang, 2 DUN bawah Parlimen itu, dan ini membantu meredakan perasaan perasaan gugup dan bimbang untuk turun ke lapangan.

endang umumnya kerusi luar bandar dengan kebanyakan penduduk merupakan pesawah, penoreh getah, kakitangan awam atau pekerja sektor swasta.

Saiful seorang ahli sains politik dan pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, di mana beliau berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif sebelum menyertai PPBM. Jadi timbul persoalan sama ada seseorang yang biasa bercakap kepada audiens bandar akan selesa di depan warga desa.

Beliau menepis perkara itu kerana dia sentiasa bercampur dengan pelbagai golongan masyarakat.

Beliau menambah dia tidak suka mendengar orang mengatakan warga desa kurang sofistikated berbanding warga bandar.

Wan Saiful juga berkara tidaklah sukar baginya menyesuaikan diri dengan persekitaran desa di Pendang. “Saya bukan ‘orang Bangsar’ atau dari Damansara Heights. Saya lahir di Alor Setar. Saudara-mara saya menetap di Alor Setar, di Langkawi dan di Perlis. Balik kampung tu biasa bagi saya.”

Beliau berkata kebimbangan warga desa dan bandar tidak terlalu berbeza.

“Di Tokai dan Sungai Tiang, saya agak pasti masalah utamanya ialah kenaikan kos sara hidup.

“Di Tokai, cabaran utamanya ialah bagaimana memastikan harga padi setimpal dengan usaha petani. Sementara di Sungai Tiang, yang ramai penoreh getah, harga getah yang rendah merupakan isu harian dalam kalangan mereka.

“Kerajaan pusat boleh membantu mengatasi masalah ini, jika wujud dasar khusus bagi membantu mereka dalam bidang pertanian.”

Beliau berkata manifesto PH menjanjikan dasar-dasar seperti itu.

“Tugas saya menemui pengundi, yakinkan mereka bahawa manifesto pembangkang baik untuk mereka.

“Saya harap pengundi, terutama yang mengundi PAS, sedar bahawa undi selain kepada PH adalah undi menyokong mengekalkan kuasa Datuk Seri Najib Razak dan Umno.”

Beliau mendakwa dia ada kelebihan jika berdepan calon Umno dan PAS pada masa yang sama kerana undi yang tidak akan menyokong PH akan berpecah antara 2 pesaingnya.

Beliau juga mengharapkan populariti Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz.

“Kehadiran Dr Mahathir akan membantu kempen kita di Pendang. Bukan itu sahaja, kita juga ada pengaruh bekas menteri besar, Mukhriz. Penyingkirannya sebagai menteri besar dulu dianggap tidak adil oleh pengundi.

“Beliau merupakan sebilangan kecil pemimpin Umno yang jelas berkata GST akan membebankan rakyat.”

Wan Saiful melihat dirinya sebagai alat dalam kemaraan PH pada pilihan raya nanti.

“Saya harap pengundi boleh memastikan Dr Mahathir menjadi perdana menteri sekali lagi dan memperbetulkan perjalanan pentadbiran negara.

“Tentu hebat, ini 2 tahun sebelum kita mencapai Wawasan 2020, dan wawasan itu dicapai sendiri oleh orang yang memulakannya dulu, iaitu Dr Mahathir.”

Pendang merupakan kerusi di mana arwah Datuk Fadzil Noor, presiden PAS sehingga beliau meninggal dunia pada 2002, menghentikan kemenangan berterusan BN di Kedah pada PRU 1999.

Pada 2008, Datuk Othman Abdul menewaskan Mohamad Sabu, yang ketika itu bertanding sebagai calon PAS, dengan kelebihan 2,638 undi dalam pertarungan 1 lawan 1.