Jangan kritik jika tak faham rancangan BRT, Rahman beritahu Warisan

Rahman berkata BRT bukan hanya tentang bas yang lebih baik.

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Rahman Dahlan menegur Naib Presiden Parti Warisan Sabah Junz Wong jangan mengkritik rancangan bas transit pantas (BRT) untuk Kota Kinabalu jika tidak faham konsep itu.

Katanya, Wong tertanya tidak memahami seluruh masalah pengangkutan awam di kota itu, oleh itu gagal memahami cara holistik kerajaan menyelesaikannya.

“Beliau merancang untuk menaik taraf bas mini sedia ada, tetapi bas-bas ini masih guna laluan sama, menyebabkan ia diganggu kesesakan trafik. Ia tidak akan menyelesaikan masalah pengangkutan awam yang tidak cekap,” katanya selepas menghadiri gotong-royong di Manggatal hari ini.

Rahman berkata BRT bukan sahaja tentang bas, tetapi termasuk laluan khas untuk membolehkan bas bergerak bebas dan mengikut jadual.

Tambahan, katanya, bas-bas itu bertaraf dunia dan menggunakan teknologi mesra alam.

“Wong tidak memahami perkara ini. Apa saya maksudkan, apabila kita mahukan perkhidmatan taraf dunia, kita perlu bantu kerajaan merealisasikannya.

“Jika tidak, kerajaan perlu memberi subsidi sedangkan kita boleh menggunakan wang untuk projek lain.

“Tetapi saya percaya rakyat Kota Kinabalu mahu dan perlu pengangkutan darat yang cekap dan saya fikir, dengan harga yang baik, mereka sanggup melabur bersama-sama kerajaan.”

Rahman berkata rancangan itu masih dalam rundingan dan Wong tidak patut terus ketepikan idea itu.

“Inilah masalah pembangkang. Apabila bercakap tentang perkara baik, mereka bawa idea populis yang tidak boleh menyelesaikan masalah.

“Wong ajukan isu bas mini tetapi beliau harus tahu bas-bas mini ini tidak akan memberi perkhidmatan yang baik tanpa laluan khas. Beliau mahu menentang segalanya, saya harap beliau faham apa yang beliau cakap,” katanya.

Pada Isnin, Wong berkata lebih wajar menambah baik sistem bas mini yang tidak teratur, daripada memperkenalkan BRT yang akan membebankan pengguna dengan tambang lebih tinggi.

Katanya, pemimpin Warisan mengumpul maklum balas daripada pengguna harian dan pemain industri berkenaan cara sistem bas mini yang lebih berkoordinasi dan berkesan boleh dilaksanakan dalam tempoh paling singkat.

Katanya, bas-bas itu harus boleh dipercayai, tepat dan mudah untuk penumpang, dan menyeru pihak berkuasa tempatan menyediakan sokongan dengan memastikan jalan raya diselenggara elok dan terdapat perhentian bas yang mencukupi.

Wong menuduh Rahman memberi alasan atas kegagalan BN melaksanakan BRT yang diumumkan pada awal 2016 bagi menyelesaikan masalah trafik di bandar itu yang semakin teruk.

Peruntukan RM1 bilion diumumkan dalam Bajet Malaysia 2016 untuk melaksanakan projek itu, yang dirancang siap pada 2020.

Kota Kinabalu dan daerah di sekelilingnya kini mempunyai rangkaian bas-bas mini dan van swasta dan milik syarikat.