Zairil mahu santuni penduduk Tg Bungah dengan minda hijau

GEORGE TOWN: Calon DAP Tanjung Bungah Zairil Khir Johari bersedia untuk bertanding walaupun terdapat sokongan yang kuat kepada penyandang Teh Yee Cheu yang meninggalkan DAP kerana perbalahan dalaman.

Penyandang Parlimen Bukit Bendera itu berkata dia mengenali penyokong Teh dan mahu berdamai dengan mereka.

“Saya kenal penyokong-penyokongnya. Apa yang saya boleh kata sekarang ini ialah, biarkan yang telah lalu dan saya harap kita boleh maju ke depan dalam satu pasukan,” katanya di pusat khidmat DAP Tanjung Bungah di Tanjong Tokong hari ini.

Terdahulu, Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengumumkan pencalonan Zairil serta calon-calon lain, termasuk Ketua Menteri Lim Guan Eng yang akan mempertahankan DUN Air Putih buat penggal ketiga.

Teh mengumumkan dia akan bertanding DUN Sungai Pinang atas tiket Parti Sosialis Malaysia.

Zairil menjangkakan pertarungan sengit di Tanjung Bungah yang mungkin menyaksikan pertandingan 3 atau 4 penjuru.

Ditanya sama ada beliau akan dilantik sebagai exco jika menang, beliau berkata: “Keputusan itu ditangan ketua saya. Kita perlu menang dulu.”

Beliau berkata tumpuannya sekarang ini ialah mendekati persatuan penduduk dan pertubuhan-pertubuhan sivil yang sangat aktif di Tanjung Bungah.

Zairil sedar akan isu alam sekitar di kawasan dan berikrar akan membantu menyelesaikannya.

“Saya berhubung dengan warga tempatan sebagai Ahli Parlimen Bukit Bendera sejak 5 tahun lalu. Saya amat sedar akan isu tempatan.

“Saya akan meneruskan agenda alam sekitar saya, iaitu menanam lebih banyak pepohon, menwujudkan taman-taman untuk rekreasi,” katanya.

DUN Tanjung Bungah mempunyai 20,126 pengundi menurut daftar pemilih 2017 suku ke-4.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14