MCA sedia hadapi ‘heavyweight’ PKR di Pandan

MCA Pandan berkata Pakatan Harapan jangan terlalu yakin menang di kerusi itu yang pernah diwakili pemimpin MCA. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) tidak harus terlalu yakin dapat mengekalkan kerusi Parlimen Pandan, kata ketua MCA bahagian Pandan.

Datuk Leong Kok Wee berkata, Parlimen Pandan bukan kerusi yang boleh dianggap mudah kerana ia merupakan salah satu kerusi terkuat MCA di negara ini.

“Kita jangka orang yang akan ke Pandan ini ‘heavyweight’ dari PKR. Kita sudah buat persiapan dan tidak kisah siapa yang datang,” katanya.

Leong berkata, suasana politik di Pandan adalah berbeza berbanding kenyataan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli sebelum ini yang yakin PH akan menang walaupun meletakkan seekor kucing sebagai calon.

Beliau yang berharap dicalonkan mewakili BN di situ mengakui belum menerima surat watikah pencalonan.

“Belum tahu lagi, belum dapat surat watikah. Ia kuasa muktamad pengerusi BN,” katanya.

Sumber memberitahu FMT terdapat spekulasi menyatakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah akan bertanding di Parlimen Pandan, sementara anaknya yang juga naib presiden parti, Nurul Izzah Anwar bertanding di Permatang Pauh.

Izzah bagaimanapun menolak spekulasi menggantikan ibunya di Permatang Pauh. Ini membuka kemungkinan beliau mengisi kekosongan di Pandan.

Beliau juga seolah-olah menyerahkan kerusi Lembah Pantai yang diwakili sebelum ini kepada Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang dilihat bergerak aktif di kawasan berkenaan.

Rafizi sebelum ini mengumumkan tidak mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berdepan hukuman penjara 30 bulan selepas disabitkan bersalah di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Pada PRU lepas, Rafizi memenangi kerusi parlimen Pandan dengan majoriti 26,729 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN).

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/04/18/saya-tak-ganti-ibu-di-permatang-pauh-kata-nurul-izzah/