DAP pilih Syerleena untuk Seri Delima

Hampir 1,000 berhimpun di Air Itam untuk mendengar ceramah pemimpin DAP.

GEORGE TOWN: DAP meletakkan Syerleena Abdul Rashid sebagai calon DUN Seri Delima menggantikan wakil rakyat 2 penggal RSN Rayer.

Langkah meletakkan Syerleena, 38, dicanangkan sebagai calon Melayu pertama yang bertanding di Seri Delima, kerusi majoriti Cina yang diwujudkan pada 2004.

Beliau adalah ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan pembantu setiausaha publisiti DAP Pulau Pinang. Dia juga menjawat jawatan sama dalam Wanita.

Ketua DAP negeri Chow Kon Yeow berkata pencalonan Syerleena dipertimbangkan dengan teliti oleh kepimpinan parti dan merasakan dia calon paling sesuai untuk Seri Delima.

“Rayer sudah berkhidmat lebih 10 tahun untuk warga Seri Delima.

“Kami berpendapat dia ada potensi untuk perkara yang lebih besar…tetapi kita ada rancangan lain yang akan diumumkan esok (hari ini),” katanya di ceramah di Air Itam semalam.

Seorang lagi muka baharu ialah Joseph Ng Soon Siang, juga seorang ahli majlis yang akan bertanding di DUN Air Itam. Penyandang kerusi itu, Wong Hon Wai, digerakkan ke Parlimen Bukit Bendera.

Ng, 39, sudah 5 tahun berkhidmat di MBPP sejak 2013 dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bukit Bendera selama 2 tahun sejak 2011.

Ramkarpal Singh, yang menyandang Parlimen Bukit Gelugor pada pilihan raya kecil 2014 susulan kematian ayahnya, Karpal Singh, sekali lagi akan mempertahankan kerusinya.

Yeoh Soon Hin juga akan mempertahankan DUN Paya Terubong, yang disandang sejak 2008.

Ramkarpal menang Bukit Gelugor dengan majoriti 37,659 undi, menewaskan calon Parti Cinta Malaysia Huan Cheng Guan dan 2 calon bebas Mohamed Nabi Bux Mohamed Nabi Abdul Sathar dan Abu Backer Sidek Mohammad Zan.

Pada PRU 2013, Rayer menang DUN Seri Delima dengan majoriti 9,277 undi, menewaskan calon BN Low Joe Hiap.

DUN Air juga dimenangi Wong, menewaskan calon BN, Jason Loo Jieh dengan kelebihan 7,434 undi.

Yeoh menang di Paya Terubong dengan majoriti 25,719 undi, menewaskan calon BN Koh Wan Leong.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14