Kerana Rina, PPBM bergolak di Titiwangsa

Muhamad Saleh Hashim menunjukkan borang pencalonan yang dibelinya, merancang menjadi calon Bebas sekiranya PPBM tetap memilih Rina Harun.

SHAH ALAM: Keputusan melantik Rina Mohd Harun dari PPBM sebagai calon Pakatan Harapan untuk kerusi Parlimen Titiwangsa tidak disenangi pimpinan akar umbi kawasan itu.

Mereka menganggap pencalonan ketua wanita PPBM itu dilihat akan memberi kemenangan mudah kepada Barisan Nasional (BN).

Bantahan terhadap pencalonan Rina difahamkan mendapat sokongan lebih separuh ketua pusat daerah mengundi di Titiwangsa.

Sebaliknya, mereka menggesa Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad melantik Muhamad Saleh Hashim, bekas ahli jawatan kuasa Umno Titiwangsa yang kini bersama PPBM.

Dihubungi FMT, Saleh berkata pimpinan peringkat bahagian tidak melakukan sebarang perbincangan dengan pemimpin peringkat akar umbi.

“Tiba-tiba dinaikkan nama yang langsung kami pemimpin peringkat akar umbi tidak tahu. Rina tidak pernah bersama kita.

“Boleh kata, dia orang luar, walaupun dilahirkan dan bersekolah di Parlimen Titiwangsa, atas nama biodata sahaja Rina ini dikatakan sebagai orang tempatan,” katanya.

Saleh berkata sukar untuk jentera parti membantu Rina meraih undi.

Ketua Wanita PPBM, Rina Mohd Harun.

“Tetapi jika PH mencalonkan saya, memang orang di Titiwangsa kenal saya lama. Saya dahulu merupakan ahli jawatankuasa Umno Bahagian dan pengerusi setinggan Parlimen Titiwangsa,” katanya.

Katanya, protes yang beliau lakukan adalah berasas kerana ia dapat membantu PH merampas Titiwangsa daripada BN yang menang tipis pada pilihan raya umum lalu.

Ketika itu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menewaskan calon PAS, Ahmad Zamri Asaad Khuzami, dengan hanya majoriti 866 undi.

Johari dipercayai tidak akan diturunkan untuk mempertahankan kerusi itu pada 9 Mei nanti.

Saleh berkata beliau tidak kisah sekiranya tidak dipilih pucuk pimpinan PPBM. Yang penting, menurutnya, “asalkan mampu bersaing dengan Johari”.

“Dan orang yang mampu itu bukannya Rina.”

Saleh kini berkata akan mempertimbangkan bertanding sebagai calon bebas jika pimpinan PH tetap dengan keputusan mencalonkan Rina di Titiwangsa.

“Saya sendiri ada pengaruh saya, mereka akan ikut ke mana-mana saya pergi. Saya sudah pergi ke pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membeli borang bertanding.

“Saya tidak ugut pucuk pimpinan tetapi kalau bukan saya yang terpilih, saya akan pergi ke arah itu,” katanya.

Saleh berkata tindakannya bukan bermakna tidak selari dengan perjuangan Dr Mahathir, sebaliknya hanya berniat membantu PH merampas Titiwangsa.

“Dr Mahathir buat silap, kerana pemimpin peringkat bahagian salah memilih dan mengusulkan nama Rina sebagai calon,” katanya.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14