Amanah, Warisan berebut kerusi di Sabah

Hamzah Abdullah berkata, tidak wajar Perjanjian Malaysia 1963 yang memperjuangkan hak kesaksamaan tidak diterjemahkan dalam aspek pembahagian kerusi.

PETALING JAYA: Enam hari menjelang hari penamaan calon, Amanah dan Parti Warisan Sabah (Warisan) masih gagal mencapai kata sepakat berhubung pembahagian kerusi di Sabah.

Pengerusi Amanah Sabah, Hamzah Abdullah bertegas parti itu akan bertanding 2 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri seperti yang diputuskan Pakatan Harapan (PH) di peringkat awal.

“Kita cuma harapkan tiada pertembungan antara PH dan Warisan, tetapi saya sudah tegaskan di sini, apa yang diputuskan PH, kita akan pertahankan,” katanya pada majlis pelancaran manifesto PH Sabah di Sandakan, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew, Pengerusi DAP negeri, Stephen Wong dan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.

Hamzah berkata, tidak wajar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memperjuangkan hak kesaksamaan tidak diterjemahkan dalam aspek pembahagian kerusi.

“Equal partner dalam MA63 ertinya sama rata. Apabila sama rata, takkanlah Amanah tidak dapat kerusi langsung, 2 kerusi pun tidak mengapa,” katanya.

PH Sabah terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah. Bagaimanapun, perbincangan mengenai pembentukan pakatan pilihan raya bersama Warisan hanya melibatkan PKR dan DAP.

Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Tahir sebelum ini berkata, calonnya akan menggunakan logo parti sendiri untuk bertanding di Sabah pada 9 Mei ini.

Shafie ketika berucap berkata, beliau sudah berunding dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu suapay tidak bertanding di Sabah.

Beliau turut berjanji akan melantik wakil kedua-dua parti itu sebagai senator atau memberikan jawatan lain.

“Di mana PKR dan DAP bertanding, kita tidak akan bertanding, kita akan sokong DAP dan PKR. Jangan kalahkan PKR dan DAP, kita mahu tumbangkan Barisan Nasional.

“Ada kerjasama dengan PH, undi calon-calon dari PKR dan DAP, yang lain jangan undi. Saya minta kerjasama penyokong PPBM dan Amanah.

“Kita minta PPBM dan Amanah, janganlah bertanding Sabah, tolonglah. Kita (jika menang) boleh lantik sama ada jadi senator atau jawatan yang ada,” katanya.

Terdapat 26 kerusi Parlimen dan 60 kerusi DUN di Sabah.

Rabu lalu, Liew mengesahkan PKR Sabah akan bertanding 6 kerusi Parlimen dan 9 kerusi DUN pada 9 Mei nanti, di mana lebih separuh daripada 15 calon itu ialah muka baru, 3 calon Pemuda dan 3 calon Wanita.

“Masih terdapat beberapa kerusi sedang dirunding dengan Warisan. Kami jangka untuk selesaikannya tidak lama lagi. Jika terdapat perubahan, ia adalah penambahan bagi jumlah kerusi PKR, bukan pengurangan,” katanya pada 18 April lalu.

DAP pula mengumumkan akan bertanding di 3 kerusi Parlimen dan 7 kerusi DUN.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14