MCA yakin mampu selesai bantahan pengundi di Wangsa Maju

 

Yew Teong Look (tengah) menasihatkan semua pihak akur dengan keputusan BN dan bekerjasama untuk memenangi kerusi Parlimen Wangsa Maju.

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) di Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look yakin dapat menyelesaikan bantahan beberapa kumpulan pengundi yang tidak berpuas hati dengan pencalonan MCA di kerusi Parlimen itu.

Bekas penyandang kerusi itu mendakwa mempunyai hubungan baik dengan pengundi Melayu di Wangsa Maju dan akan berusaha mendapatkan keyakinan pengundi lain.

“Itu memang reaksi emosi, kita boleh selesaikan. Melalui BN, kita yakin boleh selesaikan dalam masa terdekat.

“Saya sudah lama di Wangsa Maju dan mempunyai hubungan rapat dengan pengundi Melayu dan mahu eratkan lagi hubungan itu untuk dapatkan undi dan itu yang penting,” katanya selepas pengumuman senarai calon BN Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Yew menasihatkan semua pihak, termasuk Umno akur dengan keputusan BN dan bekerjasama memenangi kerusi Parlimen Wangsa Maju.

Sementara itu, Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merayu pengundi Melayu, khasnya ahli Umno menyokong pencalonan Yew di Wangsa Maju.

“Wangsa Maju dari dulu kerusi itu dipinjamkan kepada Umno. Pilihan raya umum lepas kita tanding atas tiket Umno dan kalah.

“Jadi, kali ini apabila kita berbincang dengan pihak MCA, kita beri balik kerusi itu pada MCA.”

Semalam, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili belia mendesak BN tidak memilih calon MCA, sebaliknya mahu Datuk Seri Mohd Shafei Abdullah dicalonkan di Wangsa Maju.

Timbalan Presiden Kelab Belia Persaudaraan Bandar Setapak, Mohd Abd Malek berkata kelab itu mempunyai 1,000 hingga 1,500 ahli dan mereka tidak akan mengundi, jika BN menurunkan calon MCA atau calon lain, selain Shafei.

Pada 16 April lalu, sekumpulan pengundi Cina di Wangsa Maju mengugut akan menyokong pembangkang, jika BN meletakkan calon MCA di Wangsa Maju.

Wakil gabungan NGO masyarakat Cina Wangsa Maju, Low Kong Nam dilaporkan berkata, walaupun Shafei kalah pada 2013, beliau masih membantu rakyat berbanding wakil MCA yang hanya “memilih dari kalangan kawan-kawan mereka sahaja”.

Sebuah gabungan bukan kerajaan, NGO Berbai’ah Malaysia juga mahu Shafei dicalonkan di Wangsa Maju.

Pada 19 April lalu, Setiausaha Sekretariat NGO Berbai’ah Malaysia, Zulkifly Sharif berkata, Shafei mempunyai rekod perkhidmatan baik selaku ketua Umno Bahagian Wangsa Maju dan rajin turun padang serta mempunyai skuad khas untuk membantu warga Wangsa Maju yang ditimpa musibah.

Wangsa Maju mempunyai 67,775 pengundi yang terdiri daripada 61% Melayu, 21% Cina dan 18% India.

Yew memenangi kerusi Parlimen Wangsa Maju pada 2004, selepas menewaskan calon PKR dengan majoriti 10,185 undi, bagaimanapun beliau kalah dengan majoriti tipis 150 undi kepada Wee Choo Keong yang bertanding atas tiket PKR pada 2008.

Pada 2013, calon PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong menewaskan Shafei di kerusi itu dengan kelebihan 5,511 undi.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14