Parti Rakyat Sarawak pecat 5 pemimpin termasuk 1 menteri

Presiden PRS, James Masing (duduk, dua dari kiri) bergambar dengan calon parti itu.

PETALING JAYA: Parti Rakyat Sarawak (PRS) memecat 5 pemimpin tingginya termasuk Datuk Joseph Entulu Belaun, timbalan presidennya yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri, kerana mempersoalkan senarai calon parti itu.

Presiden PRS, Tan Sri James Masing berkata 4 lagi yang dipecat adalah penyandang kerusi Parlimen Lubok Antu, William Nyallau Badak dan juga Nyempah Sabot, Edward Kurik serta Adriana Chumang.

Kelima-limanya ialah ahli Majlis Tertinggi PRS.

Masing berkata, keputusan itu sudah dimaklumkan kepada Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak.

“Jika mereka mahu bertanding sebagai calon bebas, terpulang kepada mereka, tetapi mereka tidak boleh mewakili PRS lagi,” katanya kepada wartawan hari ini.

Entulu yang juga ahli Parlimen Selangau, digugurkan daripada senarai calon PRS dan digantikan Rita Insol yang merupakan bekas ketua penasihat perundangan Bintulu Port Holdings.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14