Saya sudah tutup buku, kata Rizalman selepas tidak dicalonkan

Rizalman Mokhtar berjanji akan membantu BN berkempen pada PRU14, walaupun tidak dicalonkan di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar yang tidak dicalonkan di kerusi Parlimen itu berjanji akan membantu kempen calon Barisan Nasional (BN), Adnan Abu Seman.

“Saya sudah tutup buku. Boleh minta calon kerusi itu komen,” katanya kepada FMT selepas mengumumkan senarai calon BN Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Sementara itu, Adnan yakin dapat menewaskan pencabarnya di Bandar Tun Razak.

“Apabila saya dipanggil menjadi calon, saya terkejut, tidak sangka saya calon yang dipilih.

“Bagaimanapun, kita harus yakin pada diri kita.”

Peguam berusia 42 tahun itu berkata, pencalonannya mendapat reaksi positif daripada jentera pilihan raya BN di Bandar Tun Razak dan berjanji akan membawa perubahan baik, khusus untuk anak muda di kawasan Parlimen itu, jika menang.

“Jentera BN di Bandar Tun Razak sudah nyatakan sokongan sepenuhnya. BN mempunyai peluang cerah untuk rampas kembali kerusi Parlimen itu daripada PKR.

“Saya sebagai calon muda ingin ambil peluang ini bawa aspirasi anak muda ke Parlimen, kalau dipilih saya mampu hujah, analisa baik, bawa aspirasi untuk orang Bandar Tun Razak,” katanya.

Kerusi Parlimen Bandar Tun Razak merupakan antara kerusi majoriti Melayu di Kuala Lumpur di mana BN dikatakan ada peluang cerah untuk menang, menjadikannya rebutan sama ada di peringkat dalaman Umno mahupun di antara parti politik.

Kerusi ini dimenangi bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika bersama PKR pada 2008, tetapi Khalid yang dipecat PKR pada Ogos 2014, dilaporkan tidak lagi berminat bertanding pada pilihan raya umum ke-14.

Secara tradisi, Bandar Tun Razak ditandingi MCA, tetapi bilangan pengundi Melayu yang ramai menyebabkan gesaan supaya Umno beraksi di situ.

Rizalman baru-baru ini terpalit kontroversi susulan serbuan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis di sebuah kelab hiburan di Kuala Lumpur.

SPRM memaklumkan beliau gagal dalam ujian dadah. Ia disusuli penafian keras Rizalman yang mendakwa ada usaha mensabotaj beliau oleh pihak tertentu.

Polis kemudiannya mengumumkan Rizalman bebas daripada dadah.

Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang dikatakan akan dicalonkan di Bandar Tun Razak, turut menafikan beliau akan bertanding di kerusi itu.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14