Saya tak marah dipecat Umno, kata bekas ketua cawangan

Salihudin Ahmad Khalid mengetuai 15 bekas ahli Umno lain dalam memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap parti itu kerana gagal mengadakan pemilihan dalam 5 tahun ini.

PETALING JAYA: Bekas ketua Umno Cawangan Seri Merpati Pandan Indah, Salihudin Ahmad Khalid tidak kecewa atau marah dipecat parti itu kerana mengheret Umno ke mahkamah atas dakwaan gagal mengadakan pemilihan sejak 2013.

Katanya, beliau sudah bersiap sedia Umno akan mengambil tindakan terhadapnya.

“Saya tidak ada rasa tidak puas hati, marah dan kecewa. Bukan murtad pun. Cuma dia (Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) mungkin belum baca keseluruhan tuntutan yang kita failkan kelmarin.

“Dia bertindak sedemikian berdasarkan Fasal 20.7 perlembagaan Umno,” katanya kepada FMT.

Salihudin berkata, beliau bersama 15 bekas ahli Umno dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman itu memohon mahkamah melarang Umno memecat mereka sehingga kes itu selesai.

Semalam, Tengku Adnan berkata, 16 ahli Umno itu dipecat serta-merta kerana memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membubarkan parti itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Semua 16 orang ini barangkali gunting dalam lipatan, duri dalam daging. Kalau hendak mengkhianati parti, lebih baik keluar parti supaya kita boleh kenal siapa musuh kita, daripada duduk dalam parti jadi anai-anai.”

Beliau percaya tindakan 16 individu itu didalangi pihak luar yang tidak berpuas hati dengan Umno.

Kelmarin, 16 ahli Umno yang diketuai Salihudin memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman ke atas penangguhan pemilihan parti itu sehingga tahun depan, yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).

Mereka berkata, keputusan itu melanggar perlembagaan Umno dan memohon kelulusan itu dibatalkan.

Mereka mahu JPPM menyiasat Umno atas dakwaan melanggar perlembagaan parti dan mengeluarkan arahan menggantung aktiviti parti itu sehingga kes berkenaan selesai.

Mereka turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah membubarkan Umno mulai kelmarin, atas alasan parti itu kini “haram”.

16 ahli Umno mohon mahkamah bubar parti

Umno pecat 16 ahli heret parti ke mahkamah