Shahrizat tidak bertanding di Bandar Tun Razak

Tengku Adnan (duduk, tengah) mengadakan sidang media bersama calon BN yang akan bertanding di 13 kerusi Parlimen di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, hari ini.

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil tidak bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak seperti spekulasi sebelum ini.

Sebaliknya, Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar mengumumkan peguam muda, Adnan Abu Seman sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Bandar Tun Razak.

Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengucapkan terima kasih kepada MCA kerana memberi laluan kepada calon Umno yang berusia 42 tahun itu bertanding di Bandar Tun Razak.

“Bandar Tun Razak kita fikir ada peluang cerah untuk kita lawan dan rampas kerusi itu daripada pembangkang,” katanya selepas pengumuman senarai calon Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengalahkan calon MCA di Bandar Tun Razak pada 2008 dan berjaya mempertahankan kerusi itu pada 2013 dengan majoriti besar 11,832 undi.

Kerusi Parlimen Bandar Tun Razak secara tradisinya ditandingi MCA dan merupakan antara kerusi majoriti Melayu di Kuala Lumpur, di mana BN dikatakan berpeluang cerah untuk menang, menyebabkan ia menjadi rebutan antara Umno dan MCA.

Sumber sebelum ini berkata, Shahrizat hampir pasti dipilih bertanding di Bandar Tun Razak, namun bekas menteri itu menafikan beliau akan bertanding di kerusi itu.

Pada 13 April lalu, Rizalman dilaporkan berkata, jika beliau dicalonkan dan menang di kerusi itu, beliau mahu menghadiahkan kemenangan itu kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Rizalman baru-baru ini mencetuskan kontroversi susulan serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis di sebuah kelab hiburan di Kuala Lumpur.

SPRM memaklumkan beliau gagal dalam ujian dadah. Ia disusuli penafian keras Rizalman yang mendakwa wujud usaha mensabotaj beliau oleh pihak tertentu.

Polis kemudiannya mengumumkan Rizalman bebas daripada dadah.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, BN Wilayah Persekutuan turut mengetengahkan 3 calon wanita kali ini serta mengekalkan calon pada 2013 di Titiwangsa, Lembah Pantai dan Labuan.

“Kita juga pulangkan kerusi Wangsa Maju pada MCA,” katanya.

Berikut ialah senarai calon BN bagi 13 kerusi Parlimen di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan:

Kepong: Ong Siang Liang (Gerakan)

Batu: Datuk Dr Dominic Lau (Gerakan)

Wangsa Maju: Datuk Yew Teong Look (MCA)

Segambut: Datuk Dr Loga Bala Mohan (MyPPP)

Setiawangsa: Tan Sri Zulhasnan Rafique (Umno)

Titiwangsa: Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Umno)

Bukit Bintang: Ann Tan Yen Yen (MCA)

Lembah Pantai: Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (Umno)

Seputeh: Chan Quin Er (MCA)

Cheras: Heng Sinn Yee (MCA)

Bandar Tun Razak: Adnan Abu Seman (Umno)

Putrajaya: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Umno)

Labuan: Datuk Rozman Isli (Umno)

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14