Tian Chua mungkin kekal di Batu, kata sumber

Tian Chua mungkin dicalonkan di kerusi Parlimen Batu berdasarkan rekod baiknya di sana.

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Tian Chua dikekalkan di kerusi Parlimen Batu selepas spekulasi pemindahan beliau ke Johor tidak diterima baik penyokongnya, kata seorang sumber.

“Sumbangannya banyak di Batu. Kepimpinan parti pun tahu sumbangannya di situ,” katanya kepada FMT hari ini.

Sumber itu berkata, Tian Chua bersetuju dengan cadangan sesetengah ahli PKR untuk Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dicalonkan di Parlimen Batu, kira-kira 2 minggu lepas.

Bagaimanapun, beliau mempunyai rekod pencapaian baik di Batu.

Petang tadi, Tian Chua mengumumkan akan terus bersama PKR walaupun spekulasi mengatakan beliau mungkin keluar parti.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kepimpinan PKR supaya berhati-hati dalam memilih calon terbaik untuk memenangi pilihan raya umum ke-14.

Ia susulan spekulasi wujud tarik tali dalam senarai calon antara 2 puak dalam PKR, satu diketuai Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali, manakala satu lagi oleh Naib Presidennya, Rafizi Ramli yang menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bagaimanapun, sumber itu berkata, Wan Azizah akan memilih calon berdasarkan pencapaian mereka.

“Calon tidak boleh dipilih kerana ‘anda kawan saya, maka saya letak anda di kerusi ini’.

“Senarai calon itu akan ditentukan berdasarkan pencapaian, jawapan Parlimen, statistik dan sokongan akar umbi.

“Ia berdasarkan rekod prestasi,” katanya sambil menambah beberapa kajian ke atas calon dilakukan Invoke, sebuah badan kaji selidik yang dikendalikan Rafizi.

Oleh itu, katanya, berlaku salah faham mengenai pemilihan calon.

“Timbul rasa tidak puas hati kerana sebilangan calon yang dikemukakan Azmin ditolak,” katanya.

Sesetengah pihak menyuarakan kekecewaan terhadap kemungkinan calon kerusi Parlimen Wangsa Maju, Datuk Dr Tan Kee Kwong digugurkan dan digantikan Datin Paduka Tan Yee Kew.

Bagaimanapun, 2 hari lepas, Tian Chua memberitahu FMT, jika kepimpinan mahu menggantikan Kee Kwong, maka penggantinya mestilah orang muda dan boleh menguasai dwibahasa kerana itu ialah kerusi majoriti Melayu.

Beberapa sumber berkata, sebilangan ahli PKR mencadangkan Wong sebagai pengganti Kee Kwong di Wangsa Maju.

Sumber itu mendedahkan senarai calon itu juga menunjukkan R Sivarasa akan mempertahankan kerusinya di Sungai Buloh (sebelum ini dikenali sebagai Subang), sementara Wong Chen akan bertanding di Subang (dahulu ialah Kelana Jaya), sementara G Manivannan di Kapar.

Beliau berkata, walaupun Nurul Izzah Anwar sebelum ini menafikan akan bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh, tetapi namanya masih dikekalkan di kerusi tersebut, sementara Wan Azizah berpindah ke Pandan.

Katanya, Nurul Izzah lebih berminat bertanding di Kuala Lumpur atau Selangor, tetapi parti mahu beliau ke Permatang Pauh.

Penyandang kerusi Parlimen Gombak, Azmin bakal bertanding di Ampang dan masih tidak diketahui siapakah penggantinya di Gombak yang merupakan kubu kuat PAS.

Bagaimanapun, Azmin memerlukan persetujuan Wan Azizah untuk berpindah ke Ampang.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14